KUALA LUMPUR – Keterangan seorang pengurus cawangan bank dalam kes perbicaraan SRC Internationals Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Razak hari ini, membangkitkan beberapa persoalan terhadap soal integriti, profesionalisme dan kebebasan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keterangan Pengurus Affin Bank Cawangan The Curve, Norhayati Yunus kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini semakin jelas menunjukkan persepsi bahawa Najib menjadi mangsa penaniayaan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Semasa pemeriksaan utama oleh pihak pembelaan, Nurhayati memberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd memindahkan wang RM58 juta (tarikh sebenar tranksaksi belum disahkan dalam mahkamah) dari akaun AmBank ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank.

Dari Affin Bank, beliau memberitahu bahawa RM58 juta itu dipindahkan oleh Ihsan Perdana pada 13 Januari 2015 ke satu lagi akaun (yang belum didedahkan) milik sebuah syarikat misteri yang dinamakan sebagai Mail Global Resources Sdn Bhd (MGR).

Persoalannya di sini, mengapa BNM dan SPRM gagal menyiasat transaksi mencurigakan itu yang melibatkan jumlah wang yang besar.

Kenapa kedua-dua agensi ini hanya memburu Najib?

MGR merupakan entiti yang tidak dikenalpasti dan orang awam tidak tahu kenapa syarikat itu menerima jumlah wang yang besar, iaitu lebih banyak berbanding RM42 juta yang didakwa didepositkan ke akaun peribadi Najib di AmBank.

Mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang yang memegang integriti dan profesionalisme pasti akan menyiasat MGR dan transaksi wang tersebut.

Setidak-tidaknya BNM bertindak segera memberikan notis.

Namun badan penyelia kewangan itu tidak melakukannya, apatah lagi menyiasatnya.

SPRM juga sepatutnya perlu melancarkan siasatan ke atas transaksi yang mencurigakan itu, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Walaupun BNM dan SPRM menyiasat transaksi SRC-Ihsan Perdana-MGR, mereka perlu mendakwa dalang yang terlibat dalam transaksi itu jika berlaku kesalahan atau setidak-tidaknya mereka mendedahkan hasil siasatan mereka ketika ini.

Namun kedua-dua pihak tersebut tidak berbuat demikian dan hanya membisu tentang transaksi RM58 juta itu.

Disebabkan tindakan yang kurang cekap dan sikap membisu mereka, Najib menjadi mangsa penganiayaan politik bagi menanggung salah laku tersebut.

Bekas perdana menteri itu kini berdepan tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International.

Bagaimanapun persoalan yang timbul, tiada tindakan diambil terhadap transaksi RM58 juta yang dipindahkan dari SRC International ke MGR?

Amat pelik apabila melihatkan Najib menggunakan akaun peribadinya untuk melakukan jenayah tersebut sedangkan beliau dengan mudah boleh memanipulasi MGR bagi melakukan aktiviti pengubahan wang haram atau transaksi tidak sah yang lain.

Namun Najib tidak berbuat demikian.

Mungkin ini akibat yang perlu beliau tanggung kerana bersikap jujur menentang ahli politik yang kejam. – NTHQiBord, 6 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.