SRI LANKA mengisytiharkan darurat sejak serangan pada 21 April lalu dengan memberikan kuasa kepada tentera dan polis untuk menangkap dan menahan suspek untuk tempoh lebih lama. - Gambar YouTube.

COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka mengusir hampir 200 penceramah Islam susulan insiden pengeboman hotel dan gereja yang berlaku dua minggu lalu.

Kesemua penceramah itu antara 600 warga asing yang berada di Sri Lanka dan mereka merupakan pendakwa yang masuk ke negara itu secara sah.

Menteri Dalam Negeri Vajira Abeywardena berkata kesemua mereka diusir selepas operasi keselamatan mendapati mereka tinggal melebihi tempoh visa, mereka didenda dan diusir dari negara itu.

“Berdasarkan situasi semasa dalam negara, kami menyemak semula sistem visa dan membuat keputusan mengetatkan halangan visa kepada guru agama.

“Daripada jumlah yang diusir, hampir 200 orang adalah penceramah Islam,” kata Abeywardena.

Serangan pada sambutan Hari Easter menyebabkan 257 orang terbunuh dan hampir 500 orang lagi cedera.

Serangan itu dipercayai didalangi oleh seorang pendakwah tempatan yang didapati berkunjung ke India dan berkomplot dengan pengganas di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri Sri Lanka tidak menyatakan senarai warga yang diusir, tetapi polis berkata mereka yang tinggal melebihi tempoh visa kebanyakannya dari Bangladesh, India, Maldives dan Pakistan.

“Ada institusi agama yang mendapatkan khidmat penceramah asing berdekad lamanya,” kata Abeywardena.

“Kami tidak ada masalah dengan mereka, tetapi ada yang berkembang pesat baru-baru ini. Kami akan beri lebih banyak perhatian kepada mereka.”

Kementerian berkata kerajaan akan merombak sistem dan dasar visa negara itu kerana khuathir penceramah asing melakukan proses radikalisasi terhadap warga tempatan yang boleh menyebabkan tragedi 21 April yang menyasarkan tiga gereja Kristian dan tiga hotel mewah berulang.

Sri Lanka mengisytiharkan darurat sejak serangan itu dengan memberikan kuasa kepada tentera dan polis untuk menangkap dan menahan suspek untuk tempoh lebih lama.

Serbuan ke rumah juga dilakukan di seluruh negara untuk mencari bahan letupan dan bahan propaganda pelampau Islam. – AFP, 5 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.