KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai seorang budak kecil bodoh dan tidak tahu apa yang berlaku.

“TMJ is a little boy (budak kecil)… dia bodoh kerana tidak tahu apa yang berlaku. Jadi jangan cakaplah apabila anda tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tunku Ismail di laman Twitter bahawa perbuatan baik ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan tidak ditonjolkan atau dihebahkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah atau krisis dengan institusi raja, khususnya Sultan Johor.

“Tak ada (masalah)… bila saya jumpa (Sultan Johor), baginda pandu kereta dan hantar saya ke lapangan terbang,” katanya.

“Saya tidak mahu komen tentang sultan kerana jika saya cakap apa-apa, itu tidak baik. Tidak baik sebab baginda sultan,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada institusi raja mencampuri perjalanan urusan pentadbiran kerajaan, Dr. Mahathir menjelaskan, apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah mengikut Perlembagaan dan perundangan.

“Apabila kita lihat ada pelanggaran undang-undang, kita kena ambil tindakan membetulkan, tentu ada keputusan yang tidak dipersetujui, tetapi kita kena ikut (undang-undang), jika kita dapati tidak berlaku pelanggaran undang-undang maka kita gembira menerimanya,” katanya. – 6 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.