KUALA LUMPUR – Desakan untuk merombak Kabinet Pakatan Harapan (PH) telah dijawab oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad beberapa hari lalu apabila beliau menegaskan tidak akan ada rombakan.

Namun bagi Datuk Hamidah Osman, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, jika Kabinet dirombak sekalipun, tidak ada jaminan akan lebih baik.

Menurut Hamidah, sehingga hari ini tidak nampak perancangan mereka (PH) memperbaiki kelemahan sedangkan Tun M sebagai negarawan yang berpengalaman bukan sekadar beri penilaian tetapi sepatutnya tahu tindakan yang harus diambil apabila beliau melihat prestasi Kabinetnya hanya 5/10.

Bagi beliau, Mahathir perlu bertanggungjawab penuh atas kegagalan itu.

“Bagi saya bukan sahaja Kabinet Tun M yang gagal, malah beliau sendiri gagal. Jika Kabinetnya dinilai 5 daripada 10, beliau sendiri tidak jauh bezanya,” kata Hamidah ketika dihubungi NTHQiBord hari ini.

Hamidah yang pernah menjadi Ketua Penerangan Wanita UMNO berkata, tindakan yang  sepatutnya harus dilakukan dengan segera kerana ini melibatkan masa depan 32 juta rakyat Malaysia.

Katanya, keadaan rakyat kini terkapai-kapai ekoran keadaan ekonomi lembap, ramai hilang pekerjaan dan perniagaan yang merosot.

“Jika Tun berasakan gagal dan tidak mampu lakukan sesuatu maka harus melepaskan jawatan dan digantikan calon lain.

“Tetapi saya tidak nampak ada calon yang sesuai. Jika tidak ada pengganti yang sesuai. Maka beliau harus membubarkan Parlimen dan diserahkan kembali kepada rakyat untuk tentukan siapa yang mereka mahu.

“Jangan sampai tunggu negara hancur baru mahu bertindak. Tun tidak perlu takut kepada sesiapa. Tun pernah menggambarkan kepada kita bahawa tujuan beliau kembali ke arena politik dan menjadi perdana menteri semula kerana berasa bertanggungjawab untuk selamatkan negara,” ujar Hamidah. – NTHQiBord, 7 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.