KUALA LUMPUR – Berita penggabungan Celcom (Axiata Group Berhad) dan Digi (Telenor ASA) mendapat reaksi pelbagai  pihak.

Mengikut laporan di Astro Awani, Telenor akan menjadi pemegang saham majoriti dengan 56.5 peratus pemilikan syarikat itu manakala Axiata akan memegang 43.5 peratus.

Selepas penggabungan, syarikat telekomunikasi ini bakal menjadi yang terbesar di rantau ini.

Berita penggabungan ini turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui catatan dalam facebook beliau.

“Hari ini (semalam), Axiata milik Khazanah Nasional telah mengumumkan bahawa CELCOM akan digabungkan dengan DiGi.

“Selepas digabung, syarikat negara Norway Telenor akan memilik dan menguasai syarikat baru itu dengan kepentingan saham 56.5 peratus manakala Axiata ada 43.5 peratus.

“Dengan ini, CELCOM bukan lagi syarikat telekomunikasi Malaysia dan menjadi syarikat negara Norway,” ujar beliau.

Najib menyatakan bahawa kebimbangannya tentang nasib yang bakal menimpa pekerja di kedua-dua syarikat terbabit kerana kebiasaannya untuk gabungan syarikat dalam industri yang sama, ramai bakal kehilangan pekerjaan mereka.

Beliau mendakwa sebelum PRU14, syarikat Axiata adalah satu syarikat yang menguntungkan. Tahun 2017, Axiata untung RM909.48 juta iaitu kenaikkan 80 peratus berbanding tahun 2016.

“Tahun 2018 di bawah PH pula, Axiata catat kerugian RM5.03 billion iaitu paling besar dalam sejarah mereka. Oleh itu, Axiata telah jual banyak aset selepas tahun lepas.

“Bulan Februari ini, Axiata menjual syarikat telekomunikasi M1 kepada Singapura dengan harga RM1.65bil. Bulan April, Axiata jual perniagaan digital mereka kepada Singapura dengan harga RM579 juta.

“Minggu lepas, Axiata jual kepentingan dalam aset digital lain kepada Mitsui dari Jepun. Tetapi peratusan kepentingan dan harga tidak dinyatakan,” ujar beliau lagi.

Kini, menurut Najib, menyerah kuasa mengawal dan kepentingan saham terbesar dalam CELCOM kepada syarikat Norway. – 6 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.