KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) tidak
serta-merta meluluskan permohonan syarikat SRC International Sdn Bhd untuk
mendapatkan pinjaman sebanyak RM3.95 bilion.

Sebaliknya, KWAP memproses permohonan anak syarikat 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) itu mengikut prosedur yang sebetulnya dan tidak
mengikut kehendak SRC International sepenuhnya.

Berdasarkan keterangan saksi ke-18 kes perbicaraan SRC International, Amirul
Imran Ahmat, beliau memberitahu bahawa permohonan oleh anak syarikat
1MDB itu dibuat secara tergesa-gesa dan menerima tekanan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara spesifik pihak yang memberi tekanan kepadanya.

Namun mengikut rekod proses permohonan itu, surat memohon pinjaman
sebanyak RM3.95 bilion diserahkan kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu pada 3 Jun 2011.

Najib mengeluarkan minit dan menyatakan sokongan pada surat permohonan itu dua hari kemudian iaitu 5 Jun 2011.

Selepas menerima surat sokongan itu, Amirul hanya berperanan untuk merangka usul pinjaman seperti yang diarahkan oleh pihak atasannya yang terdahulu sebelum perkara itu dipertimbangkan oleh Panel Pelaburan KWAP.

Panel itu diwakili oleh tujuh pegawai termasuk dari Bank Negara Malaysia
(BNM) dan Kementerian Kewangan.

Mesyuarat pertama bagi membincangkan permohonan itu hanya bermula
kira-kira sebulan kemudian iaitu pada 5 Julai 2011 dan panel meminta maklumat
lanjut berhubung usul yang dibentangkan.

Mesyuarat kedua berlangsung pada 19 Julai 2011 dan panel menolak
permohonan RM3.95 bilion yang dikemukakan oleh SRC International dan
hanya boleh meluluskan RM1 bilion sahaja.

Namun selepas empat kali bermesyuarat, panel akhirnya meluluskan RM2 bilion
kepada SRC International termasuk syarat jaminan dari kerajaan dan surat
tawaran dikeluarkan pada 23 Ogos 2011.

Menariknya pinjaman itu menggunakan sistem kewangan Islam yang dikenali
sebagai Bai’ al-‘Inah iaitu kontrak yang membabitkan urus niaga jualan dan pembelian semula aset oleh penjual.

Surat tawaran itu menyatakan tiga syarat perjanjian iaitu pinjaman kemudahan, penjualan aset dan pembelian aset. Perjanjian ini ditandatangani KWAP dan SRC International pada 26 Ogos 2011.

Berdasarkan rumusan perbicaraan pada hari ke-14 hari ini, keterangan Amirul tidak menunjukkan Najib menyalahguna kuasanya untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion.

Sebaliknya, segala permohonan yang dikemukakan SRC International melalui prosedur dan proses yang ditetapkan oleh KWAP menerusi empat mesyuarat yang diadakan oleh Panel Pelaburan perbadanan itu.

Selain itu, SRC International juga akur dengan jumlah pinjaman yang diberikan iaitu RM2 bilion termasuk syarat-syarat yang lebih adil kepada kedua-dua pihak dengan menggunakan pakai sistem kewangan Islam Bai’ al-‘Inah.

Najib berdepan tujuh pertuduhan iaitu tiga dakwaan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan wang sebanyak RM42 juta menerusi syarikat SRC International. – NTHQiBord, 7 Mei 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.