KUALA LUMPUR – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula jam 8 pagi hari ini, lapor Bernama.

Pengundian hari ini melibatkan 270 pengundi yang terdiri daripada anggota polis di dua pusat pengundian iaitu di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan membabitkan 170 pengundi, yang dibuka sehingga 2 petang, manakala proses pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 pengundi berlangsung sehingga 12 tengah hari.

Proses pengundian awal ini disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya terdiri daripada wakil organisasi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di samping SPR menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook SPR.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan DUN iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon DAP – PH, Vivian Wong Shir Yee; calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara Sabah, Hamzah Abdullah; anggota perniagaan Chia Siew Yung; dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas. – 7 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.