BANDA ACEH – Semua warung kopi di wilayah Aceh dilarang beroperasi ketika umat Islam menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Arahan itu dikeluarkan oleh Datuk Bandar Datuk Banda Aceh, Aminullah Usman
yang mahu masyarakat Banda Aceh dihormati ketika melaksanakan ibadah.

“Kami melarang warung kopi dibuka semasa solat tarawih. Hormati masyarakat Banda Aceh yang melaksanakan ibadah,” katanya.

Aminullah turut mengingatkan peniaga makanan supaya tidak beroperasi dan hanya memulakan perniagaan mereka pada jam 4 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

Katanya, individu yang melanggar peraturan itu akan dikenakan hukuman berat.

“Kami akan bertindak tegas terhadap peniaga makanan yang beroperasi di siang hari.

“Begitu juga dengan pengusaha warung kopi yang menjalankan perniagaan semasa umat Islam lain menunaikan tarawih.

“Jika kesalahan sama berulang, kami akan batalkan lesen perniagaan mereka,” ujar Aminullah.

Katanya lagi, beliau telah mengarahkan polis syariah Aceh untuk meningkat pengawasan dan menangkap penduduk yang tidak berpuasa.

“Kami mengingatkan kepada masyarakat, baik Muslim mahupun bukan Muslim supaya tidak melanggar peraturan tersebut.

“Larangan ini dikeluarkan untuk menyemarakkan bulan suci Ramadan di Banda Aceh,” katanya.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.

Di bawah undang-undang itu, mereka yang ditangkap kerana berjudi dan minum arak dirotan di hadapan khalayak ramai sebagai hukuman.

Undang-undang tempatan yang berkuat kuasa pada 2015 juga menyatakan bahawa mereka yang melakukan hubungan gay boleh dirotan sebanyak 100 kali. – AGENSI, 7 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.