KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketandusan idea untuk meraih sokongan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan apabila menggunakan modal kerjasama UMNO-PAS untuk menyemai sentimen kebencian terhadap gabungan dua parti Melayu Islam itu.

Walaupun UMNO dan PAS tidak meletakkan calon bertanding di PRK itu, tetapi Anwar menyifatkan Sandakan sebagai pertempuran antara PH dan pakatan UMNO-PAS.

“Apa itu PBS? Ini medan perang antara PH dan BN, dengan parti-parti utama Umno dan PAS,” kata Anwar seperti dilaporkan Malaysiakini.

“Anda di Sandakan perlu membuat keputusan sama ada anda mahu negara ini menjaga orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, atau hanya Melayu sahaja.”

Parti Bersatu Sabah (PBS) meletakkan naib presidennya Linda Tsen bagi berdepan calon DAP, Vivian Wong dalam pilihan raya kecil Sandakan, yang diadakan selepas kematian bapa Wong yang merupakan penyandang ahli parlimen itu, Stephen Wong.

Beberapa parti pembangkang lain memberi sokongan kepada PBS dalam PRK kali ini, termasuk Umno Sabah, PAS, Usno dan Star.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei.

Anwar juga memberi persepsi buruk kepada UMNO kononnya selama ini parti itu mempunyai tanggapan yang salah terhadap kaum Cina.

“Kali terakhir ketika saya berada di Pulau Pinang, ada seorang lelaki Cina yang mengayuh beca, dan saya memintanya untuk membawa saya ke suatu tempat.

“Dia bawa beca, tapi apa yang kita panggil dia? Tauke (bos).

“Sebab itulah Umno sering berkata tidak ada keperluan untuk membantu orang Cina kerana mereka tauke, tetapi (tanggapan) ini salah,” katanya. – 7 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.