KUALA LUMPUR – Pergolakan Bersatu Johor semakin ketara apabila 23 Ketua Bahagiannya menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, seperti dilaporkan BH.

Beliau diberitahu bahawa 23 Ketua Bahagian BERSATU Johor menghantar memorandum, tetapi tidak diberitahu mengenai isi kandungan memorandum berkenaan.

Dr Sahruddin juga bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menjelaskan isu jawatan Pengerusi BERSATU Johor tidak dibincangkan pada pertemuan bersama beliau dengan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Putrajaya baru-baru ini.

“Memang kami tidak ada bangkitkan hal pengerusi (BERSATU Johor) pasal saya datang bersama 10 EXCO untuk berbincang bersama Tun, mendengar nasihat Tun untuk memastikan kerajaan kita dapat bergerak di landasan yang betul,” katanya.

Sebelum itu 12 Bahagian BERSATU Johor yang diwakili Ketua Bahagian dan wakil berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, bagi menyerahkan memorandum bantahan lantikan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi BERSATU Johor. – 8 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.