KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan akhirnya akur dengan desakan rakyat untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Putrajaya telah mengemukakan surat penarikan diri penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 April lalu, selaku depositori bagi triti tersebut.

Jelas kenyataan itu, surat penarikan diri itu dihantar setelah kerajaan mengambil kira semua langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan proses penarikan diri tersebut.

“Pihak PBB akan mengeluarkan nama Malaysia daripada senarai Negara-Negara Pihak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa setelah pihak PBB melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

”Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 April lalu telah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik diri penyertaannya ke Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, isu penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom juga telah disentuh semasa sesi penggulungan Dewan Negara pada 30 April lalu di mana persoalan mengenai perkara ini telah dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC pada 4 Mac lalu. – 8 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.