KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan tindakan pihak kerajaan yang memfailkan permohonan untuk melucuthakkan barangan milik beliau dan Datin Seri Rosmah yang dirampas setahun yang lalu.

Barangan yang didakwa bernilai RM711 juta itu dirampas selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat daripada Barisan Nasional.

“Selepas setahun puas menyiasat, kerajaan PH tidak berupaya untuk menemui sebarang bukti barangan atau wang tunai berkenaan adalah daripada hasil tidak sah.

“Mengikut undang-undang, barangan yang dirampas hanya boleh ditahan selama tiga bulan.

“Namun ia boleh dilanjutkan sekali sahaja untuk sembilan bulan lagi, menjadikan tempohnya genap setahun oleh Jabatan Peguam Negara,” kata Najib dalam facebooknya.

Menurut beliau tempoh sitaan itu akan luput 10 hari lagi iaitu pada 18 Mei ini,

Selepas luput tarikh itu, mengikut undang-undang, kesemua barangan itu perlu dikembalikan jika pihak berkuasa gagal membuktikan pembeliannya menggunakan dana haram dan tidak membuat pertuduhan terhadap pemilikan barangan terbabit.

“Sebab itu, mereka kini menggunakan tindakan lucuthak sivil dan bukan pendakwaan jenayah bagi elak dari memulangkan barangan terbabit. Ini tindakan sivil – bukan kes jenayah. Terpaksa dan terdesak pula kerajaan PH bergantung kepada tindakan sivil terhadap saya,” kata beliau.

Menurut Najib tindakan ini juga melanggar perlembagaan kerana ia hak setiap rakyat untuk mempertahankan harta sah mereka dipelihara.

Kes sivil ini adalah lemah dan bukanlah kes jenayah namun ia membenarkan kerajaan PH untuk menangguh atau mengelak daripada memulangkan semua barangan itu. – 8 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.