Kerajaan dan institusi Raja adalah dua aspek penting yang memainkan peranan tersendiri khususnya terhadap keharmonian dan kestabilan negara, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan institusi raja adalah dua aspek penting yang memainkan peranan tersendiri khususnya dalam menjaga keharmonian dan kestabilan negara, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata, tidak wujud perbandingan di antara elemen ini kerana secara jelas sistem ini berkait rapat antara satu sama lain.

Naib Presiden UMNO. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kena harus ingat bahawa negara kita ini mengamalkan demokrasi berParlimen dan Raja Berperlembagaan, maknanya kedua-duanya menjadi asas kepada kewujudan negara kita.

“Adalah tidak wajar kita mencari jawapan yang mana satu mengatasi yang lain,”katanya.

Tegas Khalid lagi, permasalahan tidak akan timbul sekiranya pemimpin dalam kerajaan dan raja menyedari bahawa mereka juga adalah tertakluk kepada Perlembagaan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Apabila wujudnya kedua-dua ini, sekali gus akan adanya elemen check and balance yang saya rasa wajar dan sangat perlu terhadap negara kita pada hari ini.

“Paling penting sama ada kerajaan atau raja, semuanya mesti patuh kepada Perlembagaan dan juga undang-undang.

“Kalau kedua-dua pihak mengikut dan menghormati Perlembagaan dan juga undang-undang saya percaya kita tidak akan berhadapan dengan masalah,” katanya ketika sesi wawancara bertajuk ‘Setia Kepada Raja Atau Kerajaan?’ bersama Nothing To Hide, semalam.

Bagaimanapun, menurut Khalid, institusi raja tidak seharusnya terlalu terbuka dalam memberi kritikan dan sokongan terhadap mana-mana parti politik.

Keadaan ini bertujuan untuk menjaga imej institusi itu daripada terpalit dengan kritikan negatif pihak yang sengaja mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku, ulasnya.

“Dalam konteks ini institusi raja ini kena memahami peranan dia, tidak boleh berpihak atau menunjukkan kecenderungannya terhadap mana-mana parti politik.

“Melalui keadaan ini akan terjagalah dan terpelihara kedudukan institusi raja dalam negara.

“Apabila institusi raja itu dihormati maka akan berkesanlah sistem negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan,” katanya. – NTHQiBord, 8 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.