JAKARTA – Indonesia bakal menjadikan Gunung Mas di Kalimantan Tengah sebagai ibu negara baharu berdasarkan keluasan wilayah itu untuk menggantikan Jakarta, kata Joko Widodo.

Presiden Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, keputusan itu bagaimanapun perlu dikaji dalam pelbagai aspek.

“Persediaan infrastruktur perlu dibuat dari awal selain mempertimbangkan isu sosial politik, sosiologi masyarakat dan perkara lain,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat kelebihan dan kekurangan lokasi pertama di Bukit Soeharto, Balikpapan, Kalimantan Timur (Kaltim) dengan Kabupaten Gunung Mas tersebut.

“Balikpapan masih berdepan isu banjir manakala Kalimantan Tengah pernah dipilih bekas presiden Soekarno. Ia pasti mempunyai sebab tersendiri.

“Tidak mungkin keputusan itu dibuat tanpa hujah data dan fakta,” tambahnya.

Jokowi menjelaskan sebuah pasukan akan dihantar ke lokasi terbabit untuk melakukan tinjauan.

Maklumat yang dikumpulkan itu kemudiannya akan diserahkan kepada beliau sebelum diputuskan.

“Saya turun sendiri ke lokasi terbabit untuk mencari perasaan kerana mudah untuk membuat keputusan kelak,” ujarnya. – 7 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.