KUALA LUMPUR – Selepas memenangi penggal kedua dalam pilihan raya Presiden 17 April, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dipanggil Jokowi mungkin akan merombak Kabinet, setelah berakhirnya Ramadhan pada bulan Jun atau Julai untuk memperkuat kabinetnya, kata seorang anggota kabinet, lapor Reuters.

Dalam temu bual dengan akhbar Tempo pada bulan lalu, Jokowi berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk merombak Kabinetnya sebelum dia mengangkat sumpah untuk tempoh lima tahun yang kedua yang dijangka pada

Oktober nanti.

Thomas Lembong, yang mengetuai Lembaga Penyelaras Permodalan Indonesia, berkata beliau menjangka Jokowi menyusun semula Kabinetnya dua kali tahun ini, setelah Hari Raya Aidil Fitri, pada awal bulan Jun, dan sekali lagi setelah mengangkat sumpah.

“Saya jangka tahap pertama atau peringkat persiapan awal penyusunan semula kabinet, yang saya tahu, sekitar Jun-Julai,” kata Lembong kepada taklimat yang dianjur oleh Kelab Wartawan Asing Jakarta.

Sementara rombakan besar-besaran kabinet, yang bertujuan mempercepatkan pembaharuan ekonomi dan menangani cabaran makroekonomi, mungkin dilakukan pada Oktober, kata Lembong.

Matlamatnya adalah untuk memperkenalkan “penambahbaikan yang agak bermakna dalam profesionalisme Kabinet,” tambahnya.

Spekulasi tentang rombakan telah diperkatakan dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan sebelum pilihan raya, dengan beberapa cadangan kemungkinan beberapa menteri yang memegang portfolio ekonomi digantikan.

Penganalisis kewangan mengatakan mereka melihat dengan teliti pilihan Jokowi, termasuk sama ada Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati akan terus kekal.

Jokowi mungkin terpaksa menggugurkan menterinya jika Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia menamakan mana-mana anggota Kabinet yang didakwa dalam kes rasuah, kata Lembong.

Beberapa menteri telah disiasat atas tuduhan tertentu tetapi masih belum ada sebarang pendakwaan.

Menteri Agama Lukman Hakim Saifuddin telah disoal siasat dan pejabatnya telah diserbu oleh pasukan penyiasat KPK, selepas agensi itu menerima laporan rasuah untuk mendapatkan pekerjaan berjawatan tinggi di kementerian Saifuddin.

KPK juga menyerbu kediaman dan pejabat Menteri Perdagangan Enggartiasto Lukita bulan lalu setelah ada Ahli Parlimen mendakwa menteri itu yang menyalurkan dana kepadanya.

Kedua-dua menteri telah menafikan semua tuduhan tersebut.

Jurucakap Presiden, Johan Budi enggan mengulas tentang kemungkinan rombakan, tetapi berkata presiden biasanya merombak sesuatu jawatan berdasarkan prestasi atau jika seseorang dituduh dan didakwa di mahkamah. – 9 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.