Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Ulang tahun pemerintahan DAP-Pakatan Harapan (DAP-PH) menyaksikan tahap kualiti rakyat tidak bertambah malah semakin membimbangkan, kata Timbalan Presiden UMNO.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekiranya perkara ini tidak berubah nescaya rakyat akan mendesak agar  Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa kurang dua tahun.

“Ya, saya jangkakan begitu (PRU dalam tempoh dua tahun) kerana rakyat bertambah tidak selesa dan rakyat hidup tertekan.

“Jika keadaan ini terus menerus berlaku, rakyat akan mendesak kerajaan untuk mengadakan pilihan raya semula. Saya jangkakan begitu,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Mohamad berkata rakyat sekarang makin sedar dan dilihat mula menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap kepimpinan kerajaan DAP-PH yang tidak melaksanakan sebarang perubahan drastik dalam dasar-dasar awam.

“Yang ada cuma perubahan kosmetik atau cuma menukar nama-nama dasar kerajaan BN dahulu yang pernah satu ketika mereka sebut ia merupakan (dasar) yang menzalimi rakyat seperti AES dan BR1M dan kini semuanya diteruskan.

“Tetapi ada pula dasar-dasar lain yang tidak dijanjikan dalam manifesto PRU14, mereka beria-ia nak adakan seperti hendak menandatangani perjanjian antarabangsa ICERD, deklarasi Rom yang mana ini tidak ada dalam perjanjian atau dalam aku janji mereka dalam pilihan raya.

“Mengapa mereka (DAP-PH) menghabiskan masa rakyat membantah dan bermacam-macam lagi tetapi mereka langsung tidak melihat manifesto yang telah mereka janjikan kepada rakyat,” jelasnya. – 9 Mei 2019.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.