KUALA LUMPUR : Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang sudah berusia genap setahun merupakan sebuah kerajaan yang gagal, tegas Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, keadaan ini terbukti apabila penilaian markah yang diberikan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kepada barisan Kabinetnya hanya 5/10.

Petikan akaun Twitter, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Jika perdana menteri sendiri beri markah 5/10, pastinya ramai (rakyat) yang beri kurang daripada itu.

“PH gagal, gagal dan gagal,” katanya memetik akaun Twitter beliau.

Mengulas lanjut Ahmad Maslan ketika dihubungi NTHQiBord mengatakan markah tersebut adalah strategi licik perdana menteri.

Beliau percaya bahawa Tun Mahathir akan menaikkan penilaian tersebut pada setiap tahun.

“Saya kira dia akan naikkan markah itu setiap tahun dan bila hampir pilihan raya umum nanti mungkin dia beri markah yang tinggi.

“Itu permainan politik orang veteran,”katanya.

Ketika ditanya pendapat beliau mengenai rombakan Kabinet beliau berkata ianya bergantung kepada perdana menteri.

“Itu terpulang kepada Tun Mahathir, tapi saya minat tentang 5/10 markah yang dia beri,” ujarnya.

Semalam, Tun Mahathir Mohamad ketika sidang media sempena ulang tahun pertama Pakatan Harapan memberikan nilai 5/10 kepada Kabinetnya.

Menjawab pertanyaan lain, beliau menjelaskan tidak akan berlaku rombakan Kabinet.

“Saya tidak melihat sebarang sebab mengapa saya perlu menyusun semula Kabinet. Tidak akan ada rombakan,” katanya. – NTHQiBord, 9 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.