NAJIB turun, ringgit naik! Itu kata-kata keramat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Oktober 2015 ketika mengulas penyusutan nilai ringgit yang dihadapi Malaysia pada masa itu mempunyai kaitan dengan prestasi pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya nak lihat Najib letak jawatan. Kalau Najib turun, nilai mata wang akan naik sekelip mata,” kata Mahathir kira-kira tiga tahun lalu.

Ungkapan itu menjadi slogan popular buat Pakatan Harapan (PH) sebelum 9 Mei 2018 untuk meraih undi kira-kira 12 juta pengundi selain menyemai sentimen kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

PH berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14. Hasilnya tertubuhlah sebuah kerajaan DAP-PH yang kini diketuai oleh Tun Mahathir, individu yang memberi inspirasi terhadap slogan ‘Najib turun, ringgit naik’.

Kini sudah setahun kerajaan DAP-PH memerintah Malaysia. Jangan katakan ringgit nak turun, menteri yang hari-hari kena kecam pun tak diturunkan lagi.

Setahun lalu, nilai ringgit jika dibandingkan dengan dolar adalah RM4.04 tetapi nilainya pada hari ini adalah RM4.15!

Ternyata slogan yang digunakan kerajaan DAP-PH itu menjadi satu lagi kisah dongeng yang suka didengar oleh penyokong tegar mereka.

Lupakan kisah dongeng lain seperti hapus tol, hapus PTPTN dan lain-lain. Anda boleh nilainya sendiri.

Berbalik pada kisah ringgit, pada ketika inilah macai-macai DAP-PH akhirnya menjadi cerdik apabila ‘menyalahkan’ susut nilai itu akibat perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China, harga minyak rendah dan lain-lain.

Ketika zaman BN, istilah-istilah ini amat jauh sekali di bibir mereka. Yang mereka tahu, ini semula salah Najib dan BN. Dua perkara inilah katanya menjadi punca ringgit naik.

Jika dulu Tun Mahathir berkata pentadbiran Najib menjadi punca kejatuhan ringgit. Mungkin kali ini barisan Kabinetnya adalah penyebabnya.

Bak kata ahli veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali, setahun adalah tempoh yang terbaik untuk melakukan rombakan Kabinet bagi memastikan pentadbiran yang lebih efisien dan mengelakkan kerosakan yang lebih teruk dilakukan oleh menteri-menteri kurang berpengalaman.

Jadi usahlah sang menteri berbangga dengan penilaian 5/10 yang diberikan Tun Mahathir kerana saya percaya rakyat menilai anda jauh lebih rendah daripada itu.

Jika anda mahu menunjukkan perbezaan dengan menteri-menteri zaman BN, letaklah jawatan agar mereka yang lebih berlayakan dan mempunyai sijil yang sah dapat mentadbir negara ini dengan lebih berkesan. – NTHQiBord, 9 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.