KUALA LUMPUR – Portal The Edge Markets mencari publisiti murahan apabila sengaja melaporkan berita sensasi kononnya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak cuba mengambil gambar swafoto ketika sedang dibicarakan dalam mahkamah.

Dengan tajuk, ‘Najib takes selfies as SRC trial proceeds, breaking court etiquette’, portal berbahasa Inggeris itu cuba menggambarkan bahawa Najib tidak mengetahui etika mahkamah sedangkan hari ini merupakan hari ke-16 beliau dibicarakan.

Laporan The Edge itu secara tidak langsung mengundang persepsi negatif terhadap Najib dan barisan peguam belanya susulan penyebaran mesej WhatsApp mengenai tindakan bekas perdana menteri itu berswafoto di mahkamah.

Tindakan portal itu juga dilihat menyalahguna kebebasan bersuara dengan mencari berita murahan yang tidak mempunyai nilai tambah, apatah lagi tidak tepat faktanya.

Akibat laporan tidak benar itu, isu berkenaan berbangkit dan mencetuskan ketegangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila pendakwa raya V. Sithabaram bertanya tentang penyebaran mesej yang mendakwa Najib berswafoto dalam mahkamah.

Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah kemudiannya berkata laporan itu ditulis oleh wartawan The Edge di mahkamah dan mengatakan beliau mesti mempunyai kuasa kerana berupaya melihat Najib berswafoto di mahkamah, sambil menambah laporan itu tidak mempunyai nilai berita.

Menurut Shafee, Najib juga menafikan berswafoto dan berkata beliau menggunakan kamera sebagai cermin, kerana berasa ada sesuatu yang tajam berhampiran matanya.

Keadaan menjadi tegang apabila Sithambaram bertanya apa masalahnya jika gambar diambil dan Shafee menjawab tiada gambar diambil.

Shafee juga berkata sebarang laporan harus membantu prosiding mahkamah, dan menggesa hakim memberi amaran kepada wartawan agar tidak menulis cerita sedemikian.

Namun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, wartawan tidak menulis cerita dengan niat jahat, kerana mereka mungkin menyangka memang benar Najib berswafoto dan mahu mengelak ia mengalih perhatian daripada kes itu. – NTHQiBord, 9 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.