KUALA LUMPUR – Hari ini secara rasminya sebuah lagi parti berasaskan orang Melayu Bumiputera ditubuhkan iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Putra diketuai oleh Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dengan 15 ahli jawatankuasa awal iaitu beliau selaku Presiden penaja, Tan Sr Khalid Yunus (Timbalan Presiden), Dr. Nor Asmah Mohd Razali (Ketua Wirawati), Norhafizah Jamaluddin (Naib Ketua Wirawati), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Ketua Wira), dan Hamzah Zainudin.

Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Masyati Abang Ibrahim.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklum mengenai keputusan itu daripada Masyati semalam yang meminta beliau bersama barisan jawatankuasa penaja Putra datang ke pejabat di Putrajaya untuk menerima sijil dan surat kelulusan.

“Saya amat teruja dengan keputusan ini, selepas tujuh bulan menunggu dan terpaksa memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah ke atas ROS.

“Sepatutnya hari ini (9 Mei) adalah hari mahkamah mendengar semakan itu tetapi ROS telah menghubungi kami memaklumkan permohonan telah diluluskan,” katanya lapor MalaysiaGazette.

“Keahlilan Putra terbuka kepada semua kaum bumiputera dan borang keahlian akan diedarkan pada 22 Mei ini sempena mesyuarat penaja kali pertama parti itu,” katanya.

Mengenai perlembagaan Putra, beliau berkata,  95 peratus adalah berasaskan perlembagaan UMNO lama yang ditubuhkan tahun 1946.

Katanya, beliau mengambilkira sejarah UMNO lama yang dirasakan amat praktikal dan sesuai dengan perjuangan parti Putra.

Turut hadir, Setiausaha Agung penaja Putra, Arshad Aliman; Ketua Penerangan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz; dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Datuk Hamidah Othman. 9 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.