Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO menyifatkan pentadbiran kerajaan DAP-Pakatan Harapan (DAP-PH) gagal walaupun sudah setahun kerana banyak janji sebelum PRU14 tidak ditunaikan.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan PH juga tidak mampu mengemukakan polisi dan dasar baharu dalam tempoh tersebut.

“Dari segi janji banyak yang tidak tercapai dalam setahun. Walaupun ada yang kata setahun adalah tempoh singkat untuk buat penilaian, tetapi sebagai kerajaan yang mengambil alih sepatutnya mampu mengemukakan polisi dan dasar dengan cepat.

“Malah, mereka perlu menunaikan apa yang dijanjikan sebelum PRU14. Tetapi apabila ia tidak berlaku, maka ia dilihat satu kegagalan sebagai kerajaan,” tegasnya.

Tambahnya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan negara ini dalam keadaan cukup baik dan kerajaan baharu hanya perlu meneruskan dasar terdahulu yang bermanfaat kepada rakyat.

“Sebagai bekas pemimpin kerajaan, saya tidak berkecil hati jika kerajaan baharu meneruskan polisi dan dasar kerajaan terdahulu. Cuma, ia mestilah lebih baik daripada sebelum ini bukan sekadar tukar kulit,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian beliau berkata, banyak perkara boleh dilaksanakan kerajaan baharu tanpa perlu mengambil masa lama.

“Contohnya, janji untuk melakukan perubahan institusi dan agensi. Pelantikan Peguam Negara misalnya dikatakan mahu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan, tetapi ia tidak berlaku dan menunjukkan janji itu hanya wayang dan retorik,” katanya. –  9 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.