Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

PERUTUSAN PERDANA OLEH

YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA SATU TAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

PADA 9 MEI 2019 (KHAMIS)JAM 2.30 PETANG

BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

  1. Saya amat bersyukur kerana dapat bersama hadirin sekalian untuk menyampaikan ucapan sempena satu tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.
  2. Pertamanya saya bersyukur kerana saya dipanjangkan umur dan masih dapat terus memberi khidmat kepada Negara.
  3. Keduanya, Negara kita masih aman dan ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa dengan sempurna.
  4. Saya juga bersyukur kerana peralihan Kerajaan tidak dicemar dengan rusuhan atau keganasan walaupun percubaan dibuat untuk menidakkan keputusan pilihanraya.
  5. Bersyukur tidak bermakna tidak sedar akan tanggungjawab yang perlu dipikul amatlah berat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Pakatan Harapan ditubuh sebagai satu gabungan empat buah parti lawan. Tujuan utama hanyalah satu sahaja – untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
  2. Keempat-empat parti yang berlainan pemikiran dan objektif ini bersetuju untuk bergabung kerana semua sedar bahawa jika berasingan Kerajaan BN tidak mungkin dijatuhkan. Jika mereka tidak dapat ketepikan hasrat masing-masing dan berusaha bersama untuk menyelamatkan Malaysia dari Kerajaan yang terkenal sebagai Kleptokrasi, masa depan Negara akan menjadi amat buruk dan rakyat akan terus menderita. Besar kemungkinan Malaysia akan menjadi apa yang di panggil sebagai “failed state” atau Negara gagal.
  3. Kesedaran ini bukan di kalangan pemimpin dan ahli parti-parti tersebut sahaja tetapi lebih kuat di kalangan rakyat. Ini ternampak jelas kerana puluhan ribu rakyat membanjiri kempen-kempen PH. Tidak mungkin PH berjaya tanpa sokongan majoriti rakyat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kejayaan menjatuhkan BN dan Najib dianggap mustahil oleh hampir kesemua orang termasuk pakar-pakar politik, ahli-ahli akademik, kolumnis-kolumnis surat khabar dan ramai lagi yang tidak memberi peluang langsung kepada Pakatan Harapan.
  2. Jelas, pandangan mereka tidak mengambil kira betapa rakyat sedar dan tidak boleh menerima lagi kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang Negara oleh dunia.
  3. Tanpa takut kepada ugutan, tekanan dan rasuah pilihanraya, rakyat menolak Kerajaan BN dan memberi mandat yang besar kepada Pakatan Harapan.
  4. Dengan mandat yang diterima, Kerajaan baharu Pakatan Harapan memulakan langkah-langkah untuk memulih semula Negara tercinta ini.
  5. Langkah-langkah pertama yang diambil ialah menyiasat skandal 1MDB dan berusaha untuk memperoleh kembali wang yang dicuri; menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa, melesapkan duit Kerajaan, dan menekan rakyat. Bekas Perdana Menteri dan rakan-rakannya di pertuduh dalam Mahkamah. Institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh pentadbiran yang dahulu termasuklah Tabung Haji dan Felda dipulih semula. Satu badan pencegah rasuah, GIACC atau Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional ditubuh untuk meningkat integriti dan membasmi rasuah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut diperkuat. Selain itu Kerajaan memperkenal Pelan Anti-Rasuah Nasional. Kerajaan juga mengkaji semula projek-projek mega termasuk ECRL yang mana harga projek tersebut melampaui nilaian sepatutnya.
  6. Yang anehnya di waktu siasatan terhadap skandal 1MDB sedang berterusan dan mereka yang terbabit telah mula dihadapkan di mahkamah berkenaan kes 1MDB, kes SRC, Datuk Najib berlagak seperti orang yang tidak bersalah. Demikian juga rakan-rakannya.
  7. Penyelamatan institusi seperti Felda telah dilakukan. Kertas putih mengenai Felda telah dibentang di Parlimen. Pemulihan Felda memerlukan suntikan wang Kerajaan sebanyak RM 6.23 billion. Sesungguhnya kos pemulihan amatlah tinggi.
  8. Begitu juga dengan kerosakan teruk yang berlaku terhadap Tabung Haji akibat salah urus dan salah tadbir. Ia memerlukan suntikan dana sebanyak RM17.8 billion yang terpaksa dibiayai oleh Kerajaan dalam tempoh 10 tahun.
  9. Tindakan telah diambil ke atas pegawai dalam pentadbiran Kerajaan yang bersekongkol dan terlibat dalam aktiviti rasuah dan salahguna kuasa pemimpin tertinggi Kerajaan BN.
  10. Rakyat mungkin bosan dengan cerita dan laporan berkenaan perbuatan pemerintah dahulu. Tetapi walaupun kita bosan, hakikatnya perbuatan yang salah oleh Kerajaan BN di bawah Najib, memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan Negara dan kesejahteraan rakyat.
  11. Hasil tindakan yang diambil untuk runding semula kontrak-kontrak yang dilulus oleh Najib sendiri, Negara berjaya menyelamatkan RM22.8 billion. Kita juga telah dapat balik wang yang dicuri berbilion Ringgit.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Walaupun segala kesalahan Najib didedah, Najib dan rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penipuan oleh mereka. Demikian juga dengan pengikut mereka.
  2. Kerana tidak dapat membukti kebenaran mereka, mereka beralih kepada memburuk Kerajaan PH dengan menuduh kononnya PH tidak mendaulatkan Islam dan Perlembagaan.
  3. Kerajaan Amerika dan Singapura baru-baru ini telah pulangkan wang 1MDB yang dicuri dan cuba bersihkan dengan membeli harta mewah di Negara-negara berkenaan.
  4. Satu soalan yang mungkin perlu mereka tanya kepada diri mereka ialah dari mana datang wang yang sebegitu banyak yang dipulangkan oleh Kerajaan Amerika dan Singapura. Bagaimanakah beg-beg mewah, barang kemas dan wang tunai bermilion yang telah dikenali sebagai milik Rosmah Mansor didapati di flat milik Rosmah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kita sedar ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan menuduh Kerajaan PH telah gagal memenuhi beberapa janji-janji yang terdapat di dalam manifesto.
  2. Pertamanya, telah saya terangkan sebelum ini bahawa apabila kita mengambil-alih Kerajaan, kita dapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga kita dapati kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji itu seberapa segera yang mungkin.
  3. Malahan, keutamaan kita berubah apabila kita dapati kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu kita selesaikan terlebih dahulu. Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja, 30 billion Ringgit diperlukan, dan beberapa billion lagi untuk memperbaiki jalan tiap tahun. Jika jalan-jalan baru diperlukan Kerajaan perlu bangunkan, sedangkan Kerajaan terpaksa bayar hutang berbillion Ringgit setahun untuk puluhan tahun.
  4. Namun begitu, walaupun terdapat sedikit kelewatan tetapi kita telah terus berusaha untuk memenuhi janji-janji kita seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan.
  5. Alhamdulillah, kita telah berhasil dalam banyak perkara. Di sini saya ingin mengambil peluang untuk melaporkan kepada rakyat apa yang telah kita lakukan.
  6. Pertamanya, prestasi pencapaian Janji Kerajaan bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 untuk “Membina Negara dan Memenuhi Harapan” adalah sebanyak 39.01%. Prestasi ini diukur melalui status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji.
  7. Sebanyak 53 Inisiatif atau 11.42% telah ditunaikan dari 128 Inisiatif. Manakala 283 Inisiatif atau 60.99% adalah di peringkat Dalam Perancangan atau Belum Mula. Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 % berbanding 9.67% pada 31 Disember 2018.
  8. Reformasi dalam undang-undang sudah dilaksana atau sedang dilaksana. Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatal atau dihenti penguatkuasaannya. Pelaksanaan hukum bunuh dihenti sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini dihapuskan.
  9. Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan. Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini.
  10. Pertumbuhan ekonomi masih berterusan dan tanda-tanda menunjuk kepercayaan pelabur sudah meningkat.
  11. Janji mengembali kepada perjanjian Malaysia tahun 1963 telah dilaksana dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan pengiktirafan Malaysia sebagai cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
  12. Pengekalan Malaysia sebagai stabil dan aman merupakan kejayaan yang besar bagi PH kerana ramai yang khuatir Negara ini akan dilanda rusuhan kaum dan agama jika PH memerintah.
  13. The Rule of Law atau pemerintahan mengikut undang-undang jelas diamalkan oleh PH. Pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu pembuat, undang-undang, pelaksana pentadbiran dan kehakiman jelas diamalkan.
  14. Inisiatif-inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India dan usaha ini sedang dipergiatkan.
  15. Begitu juga Inisiatif untuk kaum Wanita turut dipertingkatkan. Walaupun Kerajaan masih tidak berpuas hati dengan usaha untuk menempatkan lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, beberapa perlantikan memperlihatkan komitmen Kerajaan terhadap inisiatif ini. Buat julung-julung kalinya, Malaysia mendapat Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama. Selain dari beberapa jawatan penting di dalam Kabinet, Malaysia, buat pertama kalinya, kita baru sahaja mendapat seorang wanita sebagai Ketua Hakim Negara. Bank Negara Malaysia sekali lagi diterajui oleh seorang wanita. Selain itu, beberapa syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) turut diterajui wanita. Ramai pegawai tinggi Kerajaan terdiri daripada wanita.
  16. Inisiatif-inisiatif untuk memberi peluang untuk anak-anak muda memain peranan penting di dalam pembuatan dasar turut ditekankan. Kerajaan juga telah melantik seorang anak muda menjadi ahli Kabinet dan ini memperlihatkan kesediaan dan kepercayaan Kerajaan kepada kebolehan anak muda di dalam membantu membangun Negara. Kita percaya perlantikan itu akan memberi keyakinan kepada anak-anak muda bahawa mereka dihargai dan pandangan mereka di beri perhatian.
  17. Salah satu isu yang memerlukan perhatian Kerajaan ialah perumahan mampu milik. Salah satu strategi yang telah dilaksana ialah mewujudkan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan yang menyatukan gerak kerja semua agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung, dan dipengerusi oleh Perdana Menteri.
  18. Majlis ini, antara lain, akan mengambil langkah-langkah membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal dan menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.
  19. Kita yakin kita akan dapat membangunkan 100,000 rumah mampu milik bagi 2019.
  20. Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membina Negara dan Memenuhi Harapan rakyat. Kita ada empat (4) tahun lagi untuk memastikan semua janji-janji tersebut dapat dilaksanakan dan kita yakin kesemuanya akan tercapai sebelum mandat pemerintahan kita berakhir.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Permasalahan yang kita hadapi hari ini bukanlah semata-mata berkaitan dengan tekanan kos hidup yang tinggi. Ianya satu perkara yang sedang kita tangani dan akan kita tangani.
  2. Yang lebih menekan ialah wujud satu gerakan, pastinya di dalangi oleh mereka yang tewas di dalam pilihanraya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang telah mula membelenggu mereka.
  3. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kerajaan diperlihatkan sebagai sebuah Kerajaan yang tidak peduli mengenai Islam dan Melayu. Kerajaan hari ini digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.
  4. Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja.
  5. Atas sebab-sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang ialah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.
  6. Amatlah menghairankan bagaimana PAS dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama.
  7. Semua tahu UMNO selama ini telah dikafirkan oleh PAS dan pemimpin PAS terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.
  8. Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke pilihanraya ke 14 orang Melayu yang percaya kepada PAS tidak akan mengundi UMNO walaupun di kerusi yang PAS tidak bertanding.
  9. Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS dan mana-mana parti pimpinan orang Islam ataupun tidak, asalkan bukan UMNO.
  10. UMNO pula ditolak oleh rakyat pada pilihanraya ke 14 kerana mereka telah dipimpin oleh seorang kleptokrat dan bertanggungjawab membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi-institusi Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.
  11. Pakatan Harapan telah tampil ke hadapan dan bersama dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO dan BN.
  12. Apabila ini tercapai, hari ini PAS menyeru penyokongnya untuk bersama dengan UMNO untuk mempertahankan Melayu dan Islam.
  13. Dimanakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta Negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi Kerajaan seperti KWAP dan EPF?
  14. Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain dari mempertahankan perompak-perompak Negara yang berharap jika Kerajaan ini jatuh maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan.
  15. Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Selain memberi penekanan untuk memastikan semua janji-janji pilihanraya dapat dipenuhi, Kerajaan ini juga mempunyai perancangan untuk masa depan Negara dan rakyatnya.
  2. Inisiatif yang akan kita perkenalkan ini akan dapat memastikan rakyat dan Negara menikmati Kemakmuran Bersama.
  3. Sepanjang dekad lalu, ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi Negara Maju seperti disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.
  4. Pendapatan tinggi tidak bermakna mewah. Realitinya walaupun KDNK dan nilai pendapatan negara meningkat, namun nikmat kekayaan negara tidak dapat dirasai oleh rakyat kerana dengan hanya berpendapatan tinggi tetapi daya keluaran (produktiviti) ditahap lama, maka kos barangan dan khidmat akan menjadi tinggi, sara hidup akan meningkat. Dengan ini pendapatan yang tinggi tidak akan menaikkan daya beli kita.
  5. Model Ekonomi dekad lalu hanya menumpukan kepada penambahan hutang negara untuk projek-projek mega, peningkatan jumlah pekerjaan yang 70% darinya adalah terdiri dari pekerjaan berkemahiran rendah, pemilikan ekuiti negara lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing, pertumbuhan ekonomi hanya terfokus kepada beberapa bandaraya utama negara dan mengenepikan pertumbuhan dan pemilikan ekuiti dan peluang kepada rakyat tempatan.
  6. Ini menjadi lebih parah apabila nilai integriti menjunam dan rasuah melambung tinggi kerana ramai mencontohi kepimpinan utama negara yang lalu. Akibatnya, penyampaian kerajaan kepada rakyat tidak efektif dan juga tidak ikhlas serta berlaku ketirisan dan penyalahgunaan yang berleluasa.
  7. Kepimpinan terdahulu pula tanpa malu dan secara berleluasa menggunakan jenama “Bumiputera” untuk kepentingan peribadi dan kemewahan diri.
  8. Ini adalah legasi buruk yang diwarisi kepimpinan Kerajaan Baharu PH setelah mendapat tampuk kuasa setahun yang lalu dan kerosakan yang banyak menekan dana Kerajaan sehingga sedikit sahaja untuk pembiayaan Negara dan kesejahteraan rakyat.
  9. Sekarang, setelah pembaikan dilakukan oleh Kerajaan, usaha-usaha tersebut sudah mula menampakkan hasil tetapi tempoh setahun tidak mencukupi untuk memperbetulkan kesemuanya.
  10. Di masa yang sama rakyat pula tertanya-tanya tentang rancangan baharu ekonomi negara yang seterusnya untuk menyelesaikan kemelut sekarang.
  11. Masyarakat dunia, pelabur dan pasaran juga, yang meletakkan harapan tinggi kepada kestabilan politik baharu, bebas kleptokrat dan potensi baharu yang ada di Malaysia, ingin melihat hala tuju Malaysia yang lebih jelas.
  12. Dengan itu, kita telah mengambil pendekatan bahawa pembangunan negara pada hari ini bermaksud memberi Kemakmuran Bersama ataupun Shared Properity kepada semua rakyat dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau (extreme disparity in supply chain).
  13. Kita berhasrat untuk negara bangun dengan lebih pesat dan makmur, namun pembangunan ini tidak hanya dinilai melalui angka-angka KDNK. Pembangunan dan kekayaan ini harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.
  14. Dalam definisi yang ringkas; Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
  15. Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas kepada penyatuan negara bangsa.
  16. Matlamat Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia.
  17. Hasrat Kemakmuran Bersama ini adalah dengan tujuan memastikan seluruh rakyat merasai nikmat dengan lebih adil dan teragih. Kemakmuran Bersama ini dibangunkan untuk memastikan ia mencapai 3 objektif utama :

i-Kemakmuran Bersama adalah untuk memastikan Jurang Pendapatan dan Kekayaan rakyat dapat ditangani. Ia bermaksud kita berhasrat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan bagi membawa bersama rakyat yang ketinggalan supaya terbela dan diperkasakan.

ii-Kemakmuran Bersama adalah Model Pembangunan Baharu untuk semua. Ia bermaksud mencipta ekonomi yang lebih terstruktur, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

iii-Kemakmuran Bersama adalah untuk Malaysia yang lebih cemerlang dan menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia. Ia bermaksud menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

  1. Bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama ini kita memikirkan ada sekurang-kurangnya 7 TERAS STRATEGIK yang perlu ada bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama ini dapat dicapai iaitu:

i-Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara. Ekosistem Perniagaan dan Industri negara perlu ditambah baik supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan. Penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi.

ii-Sektor Pertumbuhan Baharu. Bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor-sektor pertumbuhan baharu. Kita tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja yang lama. Pelaburan dan pengwujudan kapasiti dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu amat penting dalam ekonomi dunia yang terus berubah secara radikal. Kita tidak harus menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi Negara yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.

iii-Reformasi bakat dan sumber tenaga negara. Proses peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan yang radikal bagi memastikan kita boleh menghasil tenaga kerja yang lebih produktif yang memberikan nilai pendapatan yang tinggi. Program-program peningkatan keupayaan dan kemahiran di sektor swasta mahupun yang disediakan oleh Kerajaan akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetitif, produktif dan relevan dengan kehendak industri dan dunia pada hari ini dan masa depan.

iv-Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja. Pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik. Selain memperkenalkan sektor pertumbuhan baharu, pembaikan ekosistem perniagaan dan perindustrian dan peningkatan keupayaan sumber manusia; kita akan menentukan polisi dan program yang dapat memberi pendapatan yang lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat dirasai oleh mereka. Penyediaan peluang yang lebih menyeluruh kepada pekerja tempatan di semua peringkat harus menjadi keutamaan.

v-Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial. Negara mempunyai tanggungjawab kepada golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah. Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan (need base). Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal. Walaupun begitu; usaha ini bukan bermaksud untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko.

vi-Pembangunan wilayah yang inklusif. Pembangunan ekonomi negara bukan bermaksud hanya beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih (distributive). Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh diseluruh pelusuk negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo harus dikurangkan.

vii-Peningkatan modal sosial masyarakat. Bagi menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan kita memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan dikalangan kita. Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun. Jati diri dan patriotisma golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Selain dari 7 TERAS Strategik di atas kita juga telah mengenalpasti pemangkin lain bagi memastikan matlamat TERAS Strategik ini dapat dicapai. Pemangkin (enablers) lain seperti dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan Pendidikan dan TVET bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif dan terangkum dan masyarakat sivil dan berpengetahuan dan sedar adalah penting untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk mencapai keberhasilan yang terbaik.
  2. Kejayaan Dasar Ekonomi Baharu dalam menstrukturkan ekonomi diukur melalui pembanterasan kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekuiti negara. Pada zaman pasca moden hari ini, mengukur pembangunan dan kemakmuran menjadi lebih kompleks.
  3. Kerana itu Kemakmuran Bersama tidak harus diukur hanya dengan KDNK yang tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa. Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama.
  4. Saya ucap terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama kerajaan membantu menyediakan asas-asas kepada Wawasan Kemakmuran Bersama ini.
  5. Kita harap konsep dan perancangan yang difikirkan ini dapat diteliti dengan lebih mendalam oleh semua peringkat dan kumpulan rakyat Malaysia dan akan dibawa ke peringkat akar umbi untuk mendapat maklum balas dan idea-idea yang lebih baik sebelum ia dapat dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke 12 dan 13 bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama 2030.
  6. Kehebatan sesuatu perancangan, tidak memberi apa-apa makna jika perlaksanaan tidak dilakukan dengan baik dan pemantauan bagi memastikan keberhasilannya. Ia juga menuntut kita untuk bekerja bersama-sama secara bersungguh-sungguh sebagai satu negara supaya rakyat seluruhnya dapat menikmati Kemakmuran Bersama dalam sebuah negara Malaysia yang betul-betul maju, bermaruah dan merdeka.
  7. Oleh itu, Kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan shared prosperity (perkongsian kemakmuran).

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kerajaan ini tidak lupa dengan tanggungjawab dan amanah yang telah diserahkan oleh rakyat kepadanya.
  2. Kerajaan ini akan terus bekerja keras untuk memenuhi janji-janji dan keperluan-keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat.
  3. Setakat ini, dalam tempoh setahun, Kerajaan ini telah berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi seberapa banyak tanggungjawab itu. Memang ada kekurangan dan kesilapan dan untuk itu Kerajaan ini akan terus berusaha untuk memperbaikinya.
  4. Sokongan rakyat amat penting untuk menjayakan pelbagai program dan inisiatif dan kerana itu, pada hari ini Kerajaan ini kembali kepada rakyat untuk melaporkan pencapaian dan usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.

Berikut adalah teks ucapan penuh perutusan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.