KUALA LUMPUR – Tommy Thomas tidak layak bergelar Peguam Negara kerana berbohong mengenai kos guaman sebanyak RM2 juta yang dikenakan bagi kes kapal mewah Equanimity, kata ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail, kos guaman RM2 juta ini dianggap terlalu tinggi lebih-lebih lagi keputusan kes ini adalah secara penghakiman mungkar (default judgment) iaitu tiada sebarang perbicaraan.

“Ramai yang masih ingat apabila Peguam Negara mengumumkan untuk melantik peguam luar, Peguam Sitpa dari firma guaman milik Tommy Thomas mewakili kerajaan, ramai mempersoalkan tindakan tersebut lebih-lebih lagi mengenai kos guaman.

“Namun Peguam Negara menjelaskan, tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada kerajaan atau pro bono namun terkini kerajaan terpaksa menanggung kos RM2 juta yang dianggap terlampau tinggi berbanding dengan kesukaran mengendalikan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kos guaman RM2 juta itu adalah sebahagian keseluruhan kos berjumlah RM15.5 juta termasuk kos penyeliaan, penyelenggaraan, pelabuhan dan lain-lain melibatkan kapal mewah Equanimity.

Ismail berkata, sejak awal lagi ramai pihak mempersoalkan keperluan untuk melantik peguam luar bagi mengendalikan kes tersebut.

Katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai peguam yang kompeten dan pakar dalam semua cabang perundangan termasuk undang-undang Kelautan Antarabangsa dan lain-lain.

“Jadi kenapa perlu ambil peguam luar? Apakah Peguam Negara tidak mempunyai kemampuan dan keyakinan untuk mengendalikan sendiri kes ini?

“Apakah Peguam Negara tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan peguam-peguam di AGC untuk mengendalikan kes ini?” soalnya.

Ismail berkata, Tommy perlu mendapat nasihat atau pandangan perundangan dari peguam pakar jika berasa kurang yakin atau menjemput mereka untuk membantu sewaktu perbicaraan.

Dengan cara ini katanya, perbicaraan masih dijalankan oleh peguam AGC dan kos guamannya jauh lebih rendah dan pastinya bukan RM2 juta.

“Apa yang jelas, dari kes ini adalah Tommy tidak layak menjadi Peguam Negara lagi kerana ketidakmampuan beliau bertindak sebagai Peguam Negara.

“Beliau tidak mampu mengendalikan kes untuk mewakili kerajaan dan perlu mengambil tanggungjawab ini dengan meletakkan jawatan.

“Atau perdana menteri memastikan Yang Dipertuan Agong untuk menggugurkan beliau dari jawatan Peguam Negara,” katanya.

Selain kes Equaminity, Tommy juga melantik peguam luar untuk mengendalikan kes perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos guaman yang terlalu tinggi, kata Ismail.

Tambahnya, Tommy juga melakukan kesilapan lain yang memalukan kerajaan seperti kegagalan menasihatkan kerajaan sehingga kerajaan menandatangani Statut Rom yang akhirnya kabinet membatalkannya.

“Tidak cukup dengan itu kenyataan beliau sewaktu Forum Statut Rom dengan jelas menunjukkan beliau gagal bertindak sebagai Peguam Negara yang bertanggungjawab menasihati kerajaan.

“Beliau mengatakan tugas Peguam Negara adalah menerima arahan dari kerajaan sedangkan tugas Peguam Negara adalah menasihatkan kerajaan dari segi undang-undang.

“Ini bertentangan dengan prinsip dan tanggungjawab beliau untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya. – NTHQiBord, 9 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.