TINDAKAN 23 Ketua Bahagian BERSATU Johor menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu menandakan parti itu dalam keadaan tidak harmoni.

Sebelum itu, pada 6 Mei lalu telah tular paparan di aplikasi WhatsApp menunjukkan perbualan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad, yang mahu menyerahkan surat untuk keluar parti.

Kemelut ini bukanlah sesuatu yang terpisah. Peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Osman Sapian yang digantikan oleh Datuk Dr Sahruddin Jamal sekadar menambahkan lagi rencah kemelut.

Tambah menghangatkan suasana ialah pelantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi BERSATU negeri sehingga mengakibatkan 23 Ketua Bahagiannya menghantar memorandum kepada Mahathir.

Pergolakan ini lihat lebih kepada pertarungan dalaman antara Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Sebenarnya kemelut mutakhir ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana pada bulan April lalu facebook Ops Johor telah mendakwa mesyuarat antara Pimpinan Kanan PPBM berlaku dalam suasana yang tegang. Kesemua pimpinan Kanan PPBM menyatakan solidariti di belakang Tun Mahathir. Kononnya untuk menentang Institusi Diraja Johor disebalik rombakan exco yang diketuai oleh Menteri Besar Johor.

Jangan pelik. Situasi panik yang dicetuskan oleh Pengerusi PPBM ini adalah langkah awal untuk menyingkirkan Presidennya, Muhyiddin. Ramai maklum bahawa Muhyiddin telah memberikan senarai exco Johor yang baru kepada Tuanku Sultan tanpa kelulusan daripda Tun Mahathir.

Tindakan Muhyiddin telah memberikan langkah kanan buat Mahathir untuk menggerakkan caturnya. Sekiranya Muhyiddin berjaya disingkirkan, siapa yang akan memangku jawatan Presiden dan seterusnya menjadi Presiden PPBM yang baru? Mukhriz Mahathir!

Parti PPBM akan menjadi parti baru yang didominasi oleh satu kaum kerabat. Apa yang akan terjadi pula sekiranya Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM. Siapa yang akan menerajui sepenuhnya parti PPBM? Mukriz Mahathir. Siapa yang akan jadi Perdana Menteri seterusnya?

Itu kita akan serahkan pada rakyat untuk menilai tindakan ini. Jadi eloklah pihak PKR segera mencari penyelesaian sebelum kerusi Perdana Menteri disailang oleh Tun Mahathir anak-beranak. – 10 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.