BARU-baru ini Perdana Menteri, Tun Mahathir telah membuat kenyataan bahawa kehadiran ramai pekerja asing di Malaysia adalah berpunca daripada sikap rakyat yang tidak mahu membuat kerja-kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya mampu melakukannya. Ujar Perdana Menteri lagi, disebabkan sikap rakyat tempatan yang sebegitu maka peluang pekerjaan yang ada telah direbut oleh pekerja asing.

Dalam erti kata yang lain, menurut beliau, punca utama kenapa warga asing ramai di Malaysia adalah kerana sikap rakyat Malaysia yang malas bekerja terutamanya jika melibatkan kerja-kerja yang berat, merbahaya dan kotor.

Pada pendapat saya komen tersebut adalah sangat tidak adil kepada rakyat Malaysia. Saya sendiri mengenali ramai rakyat Malaysia yang sangat rajin berkerja sebagai pengangkut sampah, buruh kasar, penoreh getah atau petani di ladang-ladang kelapa sawit dan di sawah-sawah padi . Mereka sanggup bangun pada pukul tiga pagi untuk ke ladang atau membanting tulang di tengah panas yang terik serta bergelumang dengan air selut yang kotor. Untuk mengatakan rakyat Malaysia bersikap malas adalah tidak tepat sama sekali kerana ramai yang sebenarnya amat rajin.

Namun, mengapakah sesetengah majikan masih cenderung untuk mengambil pekerja asing berbanding dengan warga Malaysia sendiri? Jawapan sebenarnya adalah kerana pekerja asing sanggup melakukan kerja yang sama tetapi pada kadar gaji yang minima iaitu RM1,100 sebulan (bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan) atau RM5.29 sejam (bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam). Malangnya pendapatan yang sebegini adalah tidak mencukupi bagi seseorang untuk menyara kehidupannya beserta keluarga, terutama sekali jika tinggal di bandar-bandar besar.

Sebagai contoh, sewa apartmen murah dua bilik di Seksyen 17, Petaling Jaya ialah lebih kurang RM1000 sebulan. Ini bermakna seseorang yang berpendapatan RM1,100 sebulan akan kehabisan wang gaji setelah membayar sewa rumah sahaja. Bahkan, untuk membayar tambang perjalanan ke tempat kerja pun belum tentu mencukupi. Bagaimana pula dengan kos makanan, bil eletrik, air dan lain-lain perbelanjaan. Bagaimana pula jika seseorang individu itu berkahwin dan mempunyai anak? Bahkan jika pendapatan sebanyak RM1,100 digandakan menjadi RM2,200 ia masih amat sukar untuk seseorang individu menyara keluarganya.

Bagi pekerja asing, ramai daripada mereka tidak mempunyai keluarga. Oleh itu, apartmen boleh dikongsikan dengan 10 rakan yang lain dan dengan itu kos menyewa dapat dikurangkan menjadi RM100 sebulan. Adakah keadaan ini yang Perdana Menteri ingin cadangkan kepada rakyat Malaysia? Iaitu jangan berkahwin dan berkeluarga, terus hidup membujang dan berkongsi tempat tinggal dengan kawan-kawan sampai tua?

Sudah sampai masanya kini bagi pemimpin dan rakyat Malaysia menyedari bahawa masalah pendapatan yang tidak berpadanan dengan kos sara hidup tidak boleh diselesaikan hanya dengan Perdana Menteri membebel bahawa rakyat Malaysia malas bekerja atau terlampau memilih dalam mencari perkerjaan.

Setelah sekian lama terbelenggu dengan masalah kos sara hidup, rakyat dan kerajaan MESTI disedarkan bahawa punca utama kepada masalah kos sara hidup yang sentiasa meningkat ialah kerana sistem kewangan yang tidak berdasarkan ajaran Islam sebenar. Sebaliknya sistem kewangan yang telah diamalkan sekian lama yang berpaksikan kepada industri hutang atau perbankan telah mencipta wang baru yang banyak (berjumlah lebih kurang RM7 bilion sebulan) apabila memberi hutang kepada sektor korporat, isi rumah dan kerajaan. Penciptaan wang baru dalam jumlah yang banyak akibat kecenderungan banyak pihak untuk berhutang merupakan sumber utama kepada masalah inflasi atau kenaikan harga barang dan perkhidmatan di negara ini.

Pada masa yang sama, syarikat perniagaan dan kerajaan yang terjebak dengan hutang yang banyak ini akan terpaksa mengurangkan kos operasi supaya dapat menjelaskan balik hutang mereka. Oleh kerana itulah, ramai majikan sangat tertekan dengan peraturan gaji minima. Sebenarnya banyak syarikat, terutamanya syarikat-syarikat kecil dan sederhana tidak mampu membayar gaji minima ini kerana beban hutang syarikat yang tinggi.

Dalam erti kata yang lain, jika ekonomi negara terus berkembang dengan bergantung kepada industri hutang atau perbankan, maka masalah kos sara hidup yang tinggi serta masalah kebanjiran pekerja asing tidak akan dapat diselesaikan. Bahkan, kemungkinan besar masalah ini akan menjadi bertambah teruk di masa akan datang.

Untuk menyelesaikan masalah di atas adalah tidak mencukupi dengan hanya menyeru rakyat Malaysia menukar sikap dan sanggup menerima upah yang rendah sahaja. Kerajaan seharusnya mendidik rakyat supaya berhemah dalam perbelanjaan dan tidak menyumbang kepada perkembangan industri hutang dengan cara berhutang kepada industri tersebut. Kerajaan sendiri juga mesti berbelanja dengan berhemah supaya dapat mengelakkan negara daripada berhutang kepada industri hutang.

Sudah tentu perubahan ini memerlukan pengorbanan daripada semua pihak kerana sebarang pengurangan perbelanjaan kerajaan akan mengakibatkan ekonomi negara menjadi perlahan dan banyak perkhidmatan kerajaan kepada rakyat terpaksa dikurangkan. Namun, berdasarkan keadaan yang dihadapi kini, hakikat sebenarnya kita semua TIDAK ADA pilihan lain dan mesti berubah jika kita mahu memastikan generasi akan datang dapat hidup dalam keadaan yang lebih bahagia dan sejahtera.

PROF MOHD NAZARI ISMAIL
Mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBORD*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.