DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan selepas calonnya Vivian Wong, 30, menewaskan empat pencabarnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, hari ini.

Vivian memperoleh majoriti 11,521 undi, selepas mendapat 16,012 undi.

Selain Wong, PRK itu ditandingi calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin yang mendapat 4,491 undi dan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, (788 undi) Chia Siew Yung, 46, (178 undi) dan Sulaiman Samat, 36, (126 undi).

Proses pengundian berakhir pukul 5 petang dengan peratusan keluar undi yang rendah iaitu 51 peratus setakat pukul 4 petang.

DAP meneruskan amalan nepotismenya apabila meletakkan Vivian, anak kepada penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Stephen Wong yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Seramai 39,684 pengundi layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang.

Berikut adalah perkembangan semasa PRK Sandakan:

9.00 malam – Vivian sah menang PRK Sandakan dengan undi 16,012.

7.00 malam – Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon DAP, Vivian Wong mendahului dengan 14, 751 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diumumkan SPR.

5.00 petang : Kesemua 19 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan ditutup tepat pukul 5 petang ini sejak ia dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat pukul 4 petang ialah 51 peratus.

4.00 petang : Polis membuka enam kertas siasatan daripada 12 laporan yang diterima sepanjang kempen PRK Sandakan sehingga jam 12 tengah malam, semalam.

3.00 petang  : Peratusan keluar mengundi sehingga 3 tengahari ialah 47 peratus. – SPR

1.00 petang  : Peratusan keluar mengundi sehingga 1 tengahari ialah 37 peratus. – SPR

12.15 tengahari : Peratusan keluar mengundi sehingga 12 tengahari ialah 32 peratus. – SPR

12.00 tengahari : 13 laporan dibuat kepada polis dan SPR sepanjang tempoh kempen kali ini, berhubung dengan isu-isu kecil seperti berkempen tanpa permit dan menaikkan sepanduk dengan memaparkan logo parti yang tidak bertanding di Sandakan.

11.10 pagi : Tinjauan mendapati pengundi kaum Cina lebih ramai keluar di sebelah pagi dan dijangka pengundi Melayu akan keluar selepas pukul 1 petang.

11.00 pagi : Sebanyak 27 peratus rakyat Sandakan keluar mengundi setakat ini – SPR

10.00 pagi : Tinjauannya di pusat mengundi itu setakat ini, perjalanan proses pengundian lancar dan tiada insiden kecoh dan mengganggu ketenteraman awam – SPR

9.00 pagi : Sebanyak 12 peratus rakyat Sandakan keluar mengundi setakat ini. Peratusan ini dilihat memberangsangkan – SPR

8.50 pagi : Calon bebas, Hamzah Abdullah, melawat pusat membuang undi Sekolah Menengah Yu Yuan sambil menemani tiga orang anaknya yang membuang undi di sekolah berkenaan.

8.30 pagi : Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee mengundi di saluran tiga di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah, kira-kira jam 8 pagi tadi.

8 pagi: Keputusan dijangka keluar seawal pukul 10 malam.

7.30 pagi: 19 pusat pengundian mula dibuka kepada pengundi.

7 pagi: Hujan lebat diramal turun di beberapa kawasan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.