Anwar tetap bekas banduan, bukannya Mahatma Gandhi

0

KECOH sehari dua ini apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri.

Melentinglah pahlawan-pahlawan PKR dan Pemuda Amanah tampil mempertahankan Anwar.

Ada yang kata Takiyuddin dulu pernah pertahankan Anwar dan kini mempersoalkan kenapa skrip pemimpin PAS itu berubah.

Ada juga yang menyamakan Anwar seperti ikon kemerdekaan India Mahatma Gandhi yang berulang kali dipenjarakan tetapi akhirnya diangkat sebagai pemimpin.

Ada juga mengatakan hukuman yang dijatuhkan ke atas Anwar adalah fitnah yang direka oleh musuhnya, Umno.

Menjawab persoalan pertama tentang nada Takiyuddin berubah ke atas Anwar, pemimpin PKR sepatutnya bertanya soalan yang sama pada diri mereka.

Ingat kembali PKR itu ditubuhkan atas tujuan apa? Bukankah mereka pada asalnya mahu menentang kekejaman Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri keempat dan mahu mencari keadilan buat Anwar?

Tapi kini mereka boleh bersetongkol dengan musuh yang paling mereka benci? Bukankah skrip mereka juga berubah? Adakah mereka sudah mendapatkan keadilan buat Anwar atau kini masih berada di bawah orang yang mereka benci?

Itu belum lagi mengambil kira gelaran popular, Al-Juburi yang dilemparkan Menteri Pertahanan hari ini, Mohamad Sabu atau Mat Sabu terhadap Anwar.

Mungkin Mat Sabu boleh buat-buat lupa, tetapi rakyat sesekali tidak pernah lupa apa yang diucapkan graduan seni kulinari ini.

Untuk menyamakan Anwar seperti Gandhi, amatlah bodoh sekali dan mencerminkan betapa ceteknya pemikiran mereka. Gandhi bukan dipenjarakan atas tuduhan meliwat atau terlibat dalam kes rasuah. Sebab itu mendiang diberi gelaran ikon kemerdekaan India, bukannya ikon bakal perdana menteri paling lama.

Paling menampakkan kedangkalan puak pembela Anwar ini apabila mendakwa Presiden PKR itu menjadi mangsa konspirasi Umno. Eloklah persoalan itu ditanya sendiri kepada Tun Mahathir yang bertanggungjawab memenjarakan pemimpin kesayangan mereka.

Anwar tetap bekas banduan kerana disabitkan mahkamah atas kesalahannya. Ingat, bukan sekali Anwar dipenjarakan, tetapi dua kali oleh pemimpin yang berbeza.

Jadi benarlah pertanyaan Takiyuddin, mahukah bekas banduan menjadi perdana menteri anda? – NTHQiBord, 12 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.