Lebih 100 banduan di Sumatera larikan diri

0

JAKARTA – Lebih 100 banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di pulau Sumatera, Indonesia, semalam.

Insiden terbaharu ini telah menjejaskan lagi imej sistem penjara negara berkenaan.

Menurut polis, insiden itu membabitkan penjara di daerah Siak, Sumatera dan ia berlaku pada awal pagi, selepas berlakunya rusuhan serta kebakaran di pusat tahanan itu.

Menurut laporan AFP, imej yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan penjara itu sedang diselubungi api yang marak.

“Pihak berkuasa sudah melancarkan misi mengesan banduan secara besar-besaran.

“Setakat ini, 115 banduan sudah berjaya ditahan semula,” kata ketua polis wilayah Riau, Widodo Eko Prihastopo.

Beliau berkata, ketika ini puluhan lagi tahanan dari jumlah keseluruhan hampir 650 banduan yang ditempatkan di penjara itu masih lagi bebas.

“Pihak polis dengan bantuan tentera dan penduduk setempat masih berusaha mengesan baki banduan berkenaan,” kata Prihastopo.

Polis berkata, rusuhan itu dipercayai bermula selepas pengawal penjara memukul beberapa banduan yang ditahan kerana menggunakan methamphetamine.

Sementara itu, pegawai kesihatan tempatan memberitahu, tiga banduan mengalami cedera akibat ditikam, manakala seorang anggota polis cedera ditembak sewaktu rusuhan berlaku.

Insiden lari dari penjara sering berlaku di Indonesia, memandangkan kebanyakan banduan ditahan dalam penjara yang sesak dan kotor. – 12 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.