Kubu Masmak antara tarikan pelancongan di Riyadh. - Agensi.

KERAJAAN Arab Saudi meningkatkan usaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik bagi pengunjung dari luar negara sepanjang Ramadan dan cuti sekolah, lapor portal Arabnews.

Suruhajaya Pelancongan dan Warisan Saudi (SCTH) cawangan Riyadh memula usaha bermusim itu dengan meningkatkan pemeriksaan di fasiliti pelancongan.

Pengarah Besar SCTH Abdulaziz Aal Hassan berkata, pelan pelancongan itu termasuk memeriksa kemudahan, agensi dan perkhidmatan.

Katanya, beratus-ratus pemeriksaan sudah dijalankan dan SCTH cawangan Riyadh bekerjasama dengan agensi dan penyedia kemudahan bagi menganjurkan program dan majlis.

Perkampungan warisan dan muzium juga sedia menerima pengunjung sepanjang Ramadan dan cuti Aidilfitri.

Riyadh merupakan lokasi tumpuan warisan Arab Saudi termasuk Ad Diriyah yang berada di kawasan bersejarah At-Turaif. Ia pernah menjadi lokasi keluarga diraja Arab Saudi dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Projek pemulihan At-Turaif dan Ad Diriyah merupakan antara projek yang sedang dilaksanakan bagi memacu sektor pelancongan di Arab Saudi, sejajar dengan pelan pembaharuan Wawasan 2030.

Projek itu melibatkan pemulihan Kubu Masmak dan Istana Murabba yang meupakan istana pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz yang kini dikenali sebagai Pusat Bersejarah Raja Abdul Aziz.

Kampung Warisan Ashikar yang terkenal dengan bangunan diperbuat daripada lumpur menjadi tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan.

Ia terletak 200 kilometer dari Riyadh dan mempunyai sebuah muzium serta seni arkitek tradisional.

Sektor pelancongan Riyadh meningkat kira-kira 7.9 peratus setahun sejak 2006, dua kali lebih pantas berbanding Mekah. – 12 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.