TARIKH 13 Mei 1969 ialah satu peristiwa gelap dalam babak sejarah negara. Pertelingkahan antara kaum yang membawa kepada 25 orang terbunuh dan 145 lagi cedera (angka rasmi) ialah satu peristiwa yang tidak seharusnya berlaku. Tetapi ia berlaku atas banyak faktor bukan saja pada tahun berkenaan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor yang berlaku semasa penjajahan British dan Jepun. Ya, ia satu topik sensitif di mana tiada siapa mahu berbicara tentangnya. Tetapi ia perlu sebagai ingatan agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Faktor yang membawa kepada 13 Mei 1969

1.Dasar pecah dan perintah British

Semua pasti sedia maklum perihal British bila menguasai negara-negara koloni mereka. Bagi memastikan tiada siapa dapat mencabar hegemoni mereka, mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan memisahkan komposisi kaum di negara ini. Mereka menetapkan peranan dan status berbeza bagi setiap kaum. Orang Melayu seharusnya tinggal di kampung, orang Cina sepatutnya berada di bandar manakalah orang India patutnya berada di estet.

Ini bagi memudahkan usaha mereka mengeksploitasi sumber semulajadi negara ini. Namun pada masa sama, ia turut mengehadkan interaksi antara kaum. Selain itu, dalam laporan kertas putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), pihak British tidak bersungguh-sungguh mendedahkan orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu dengan adat istiadat orang Melayu dan lebih suka mereka duduk secara berasingan. Polisi sebegini ibarat bom jangka pada hubungan antara kaum ketika itu dan akhirnya meletus semasa 13 Mei 1969.

2.Aliran pendidikan

Sebelum Laporan Razak dibentangkan pada tahun 1956, sistem pendidikan negara menyaksikan empat aliran pendidikan iaitu Melayu, Cina, India dan Inggeris. Ketiga-tiga sekolah yang dinyatakan sebelumnya menggunakan kurikulum dan bahasa pengantar yang berbeza.

Ketidakseragaman dalam kedua-dua perkara di atas ini menyebabkan pelajar-pelajar yang lahir dari tiga aliran sekolah berkenaan hanya mampu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini juga satu masalah yang berpotensi menggugat perpaduan kaum ketika itu.

3.Perbezaan agama dan budaya

Selain isu pendidikan, isu agama dan budaya turut menghantui hubungan antara kaum di negara ini terutama sebelum peristiwa 13 Mei. Semua sedia maklum terdapat pelbagai agama di negara ini seperti Islam, Buddha, Hindu dan Kristian. Dan dari segi budaya pula, semua kaum mempunyai budaya mereka yang tersendiri.

Masalahnya di sini bukan kepada perbezaan agama tetapi sikap curiga dan kejahilan terhadap agama-agama lain yang membawa kepada pelbagai insiden yang menyinggung emosi penganut agama lain sehingga mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

4. Penubuhan persatuan berasaskan kaum

Struktur masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang telah melahirkan banyak persatuan-persatuan politik sosial dan ekonomi yang berasaskan kaum masing-masing. Perkara ini telah memeperkuatkan lagi rasa syak wasangka antara satu sama lain kerana persatuan-persatuan ini hanya memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum yang diwakilinya sahaja tanpa menghiraukan kaum-kaum yang lain.

Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum hingga menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan kaum yang lain.

5.Pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Salah satu punca permusuhana orang Melayu dengan orang Cina ialah akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini kerana Jepun memberi layanan yang lebih istimewa kepada orang Melayu berbanding orang Cina kerana Jepun masih lagi dipengaruhi sentimen peperangan dengan negara China pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.

Ini menyebabkan tentera Jepun bersikap pilih kasih dalam hal yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai pemimpin kerajaan dan anggota keselamatan. Tapi berbeza pula dengan orang Cina di mana mereka dimusuhi dan dilayan tanpa perikemanusiaan. Ini mendorong sesetengah daripada mereka menyertai Malaysian People Anti-Japanese Army (MPAJA) yang digerakkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan sokongan British semasa WWII.

Kronologi Peristiwa Ke Arah 13 Mei

1.Pemerintahan 14 hari MPAJA

Selepas Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, ia menandakan berakhirnya WWII. Tetapi bagi MPAJA, penyerahan kalah Jepun juga membuka ruang untuk mereka berleluasa di Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari sebelum British kembali ke Tanah Melayu dan mengasaskan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada September 1945, mereka mula melancarkan kempen terhadap orang awam terutama individu-individu yang dianggap bersubahat dengan tentera Jepun.

Modus operandi mereka ialah membawa individu-individu ini ke pinggir hutan dan disuruh menggali lubang. Sesetengah daripada mereka ini dibelasah dengan kayu atau cangkul dan ditolak masuk ke dalam lubang di mana dalam sesetengah kes, ada yang ditanam hidup-hidup. Ada juga yang ditembak mati dalam keadaan berlutut atau digantung sampai mati selepas dibicarakan dalam mahkamah kanggaru mereka sendiri. Tiada siapa yang berani bersuara kerana bimbang dilabel pengkhianat dan dihukum mati dengan kejam oleh MPAJA.

Memandangkan ramai mangsa terdiri daripada orang Melayu, ini mengundang kemarahan ramai di mana ramai bangkit menentang seperti Kiai Haji Salleh. Misalnya di Batu Pahat, pertumpahan darah hampir-hampir tercetus jika tidak kerana campur tangan bakal Menteri Besar Johor dan pengasas Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO), Dato Onn Jaafar.

Sementara di Sungai Manik, Perak pula, orang Melayu bertempur dengan gerila MPAJA dan peneroka Cina tempatan selepas MPAJA cuba mengambil alih Sungai Manik dan bandar-bandar berhampiran. Pertempuran berterusan sehinggalah BMA ditubuhkan pada September 1945.

2.Darurat 1948-1960

Selepas gerila PKM membunuh dua pengurus ladang dan seorang penolong pengurus ladang Eropah di Sungai Siput pada tahun 1948, British mengisytiharkan darurat di mana ia terhad di Perak pada Jun 1948 sebelum diluaskan ke seluruh negara sebulan kemudian.

PKM dilihat mahu meneruskan usaha membentuk sebuah negara komunis di Tanah Melayu melalui perang gerila, satu usaha yang ditolak sekeras-kerasnya oleh British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun-tahun menuju ke arah kemerdekaan.

Namun, tidak ramai tahu usaha mendapatkan khidmat orang Cina untuk membantu kempen melawan PKM pada tahun-tahun awal darurat amat sukar. Bagi menggalakkan orang bukan Melayu membantu usaha mempertahankan Tanah Melayu dari ancaman PKM, mereka menyertai kerahan Khidmat Negara (National Service). Malangnya, hanya 200 orang sahaja yang menyertai pasukan itu dari tahun 1949 hingga 1951.

Dan apabila ia dikuatkuasakan pada tahun 1950, laporan kertas putih MAGERAN mendedahkan dari Februari hingga Ogos 195, lebih 10,000 pemuda Cina melarikan diri ke China untuk mengelak dari dipanggil menyertai kerahan tersebut.

Situasi ini nyata menghampakan ramai orang Melayu dan sudah beberapa kali mendapat teguran rasmi. Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Tanah Melayu Sir Henry Gurney pernah berkata, “Perasaan kecewa telah timbul dalam kalangan anggota masyarakat lain tentang keengganan orang Cina memberi pertolongan.

Mereka hidup bersenang-lenang dan menumpukan tenaga semata-mata untuk mencari kekayaan.” Cubaan kedua untuk membawa 2,000 orang Cina menyertai Khidmat Negara juga berakhir dengan kegagalan pada tahun 1952 walaupun Persatuan Cina Semalaysia (MCA) menawarkan insentif antara $50 hingga $300 bagi setiap rekrut Cina dalam masa latihannya.

Walau bagaimanapun, kertas putih MAGERAN turut menyatakan penghargaan kepada ramai anggota kerajaan dan keselamatan dari kalangan kaum bukan Melayu yang berjuang bagi memastikan negara terus selamat dari ancaman PKM. Salah seorang tokoh keselamatan dari kaum Cina yang pernah menabur bakti semasa era darurat ialah bekas Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Sarawak, mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng. Kisahnya pernah diabadikan dalam satu entri The Patriots tidak lama dahulu.

3.Jarum halus PKM

Walaupun tewas semasa fasa pertama darurat, impian melihat sebuah negara komunis tidak pernah terpadam di hati penyokong-penyokong PKM. Pada dekad 60-an, mereka secara senyap mula menyusup dalam parti-parti politik atau pertubuhan bersifat kemasyarakatan. Tujuannya satu iaitu mencetuskan ketidakstabilan dalam negara dalam apa jua cara bagi memastikan negara yang baru mencapai kemerdekaan itu terus lemah. Bukan sekali dua PKM menjadi batu api sehingga mencetuskan keributan dalam kalangan masyarakat. Berikut beberapa peristiwa yang direkodkan dalam laporan kertas putih MAGERAN:

i. Pada tahun 1967, kerajaan bersama Brunei dan Singapura mula mengeluarkan mata wang mereka sendiri (semua dipanggil dolar) di bawah nama Dolar Malaysia, Dolar Singapura dan Dolar Brunei. Dengan pengenalan tiga mata wang baru ini, mereka menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang bagi membolehkan wang mereka boleh ditukar antara satu sama lain. Tetapi enam tahun selepas itu, Kuala Lumpur menarik diri dari perjanjian tersebut dan nama rasmi mata wang kita ialah Ringgit dan Sen.

ii. Tetapi pihak komunis mengambil kesempatan dari situasi ini dengan mengadakan tunjuk perasaan anti-penurunan nilai mata wang dan menghasut orang ramai menentang langkah penurunan nilai mata wang. Dan bagi memaksimumkan impak tindakan ini, Pulau Pinang dipilih sebagai tapak protes. Ini mengakibatkan kekecohan penduduk Melayu-Cina pada 24 November 1967 di mana beberapa orang terbunuh, ramai cedera dan beberapa rumah serta kereta musnah terbakar. Keadaan ini mencetuskan rasa curiga dalam kalangan penduduk.

iii. Almarhum Tunku Abdul Rahman menulis dalam kolum mingguannya bersama The Star, “Pihak komunis tidak pernah meninggalkan kita. Jika mereka tidak boleh melancarkan tindakan agresif secara terbuka, mereka melancarkan tindakan bersifat subversif. Pada tahun 1967, kita terpaksa membuat sedikit pengubahsuaian tentang mata wang kita, dan kita putuskan untuk turunkan sedikit nilai mata wang – sangat sedikit sehingga orang pun tidak perasan. Tetapi di Pulau Pinang, Barisan Sosialis mengarahkan hartal (penutupan kedai sebagai tanda berkabung). Jadi, bila mereka isytiharkan hartal, samseng keluar di jalanan dan mula mencetuskan kekecohan serta menyerang orang Melayu yang dianggap anak emas pihak kerajaan. Tanpa mereka sedar, orang Melayu yang diserang itu langsung tidak tahu tentang nilai atau penurunan nilai mata wang kita dan mereka amat terkejut dengan kejutan itu.”

iv. Setahun selepas itu, 13 anggota PKM terdiri daripada 11 orang Cina dan dua orang Melayu dihukum mati kerana membantu tentera Indonesia semasa Konfrontasi di Johor. Justeru, 13 banduan ini seharusnya dihukum mati di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Namun, Ahli Parlimen Batu dari Parti Buruh Dr Tan Chee Koon merayu semua 13 banduan dilepaskan dari hukuman mati. Chee Koon mendapat sokongan dari komuniti Cina dan kumpulan pro-komunis untuk menghasut masyarakat Cina. Mereka berhimpun di hadapan Penjara Pudu dan sepanjang jalan menuju ke penjara berkenaan sambil menakutkan pengguna jalan raya dengan membaling batu dan botol pada kenderaan yang melaluinya dan menghalang laluan trafik.

Untuk mengelak situasi menjadi lebih tegang, Almarhum Tunku merayu pengurangan hukuman kepada Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah dan Sultan Johor, Almarhum Sultan Ismail al-Khalidi. Hukuman kesemua 13 banduan itu ditukar daripada hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.

Namun, impak daripada tindakan tersebut menyaksikan kelompok pro-komunis melabel kerajaan sebagai lemah dan meneruskan provokasi mereka ke tahap lebih melampau. Dan seperti ramai sedia maklum, bakal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menghantar surat mengkritik keras tindakan baginda yang membawa kepada insiden 13 Mei. Dan semua maklum sebulan selepas itu, beliau dipecat daripada UMNO.

Dua minggu sebelum pilihan raya 1969, seorang pekerja parti UMNO bernama Allahyarham Kassim Omar dibunuh dengan kejam oleh ahli-ahli Parti Buruh. Allahyarham dibelasah sampai mati di tepi jalan, mukanya dicat dengan cat merah dan pakaiannya diconteng dengan mesej memboikot pilihan raya. Pembunuhan tersebut merupakan satu kejutan kepada ramai pihak dan ini hampir-hampir mencetuskan rusuhan kaum jika tidak kerana tindakan pantas pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan urusan jenazah Allahyarham disegerakan dan secara senyap dalam keadaan terhormat.

Rusuhan Kaum

a) Keributan di Pulau Pinang

Tujuh bulan sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pada 2 Januari tahun sama, Pulau Pinang menyambut ulang tahun ke-100 status sebagai bandaraya oleh kerajaan British. Bagaimanapun, sambutan dicemari dengan insiden salah faham antara orang yang berpesta dengan penonton yang melihat sambutan berkenaan. Ia hampir-hampir menjadi rusuhan kaum jika tidak kerana campur tangan cepat pihak berkuasa bagi menenangkan keadaan. Dalam insiden ini, 4 orang awam terbunuh sementara 48 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

b) Rusuhan di Pulau Pangkor

Pada Mei 1959, berlaku pertembungan antara orang Cina dengan orang Melayu di Pulau Pangkor yang mengakibatkan kebakaran rumah kediaman dan tiga individu terbunuh (dua orang Melayu, seorang Cina). Sementara 10 lagi cedera dalam insiden berkenaan. Bagi menenangkan keadaan, perintah berkurung dilaksanakan selama beberapa hari di Pangkor. Pihak kerajaan turut mengarahkan rondaan polis dikerapkan dan Almarhum Tunku pernah melawat pulau berkenaan dan menasihati penduduk agar bertenang.

c) Pertelingkahan di Bukit Mertajam

Lima tahun sebelum insiden 13 Mei, dua individu masing-masing seorang Melayu dan seorang Cina mati disebabkan oleh satu pertelingkahan kecil. Semua ini berpunca daripada insiden seorang pekerja pasar berbangsa Melayu dipukul dengan cangkul oleh seorang penjual sayur Cina berusia 15 tahun. Ini mencetuskan insiden pukul dan bakar tatkala pekerja yang terkesan dengan insiden itu cuba melaporkannya kepada pihak berkuasa. Untuk mengelakkan lebih banyak ketegangan, perintah berkurung dikeluarkan selama beberapa hari untuk menenangkan keadaan.

Provokasi

Enam hari sebelum pilihan raya 1969, tiga konstabel polis terserempak dengan sekumpulan anggota pemuda Parti Buruh yang menconteng slogan anti-pilihan raya di atas jalan. Bila diminta berhenti, mereka bertindak menyerang dengan rod besi dan membaling batu dan kayu terhadap polis. Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri. Salah seorang daripada ahli pemuda itu cedera parah dan mati semasa mendapat rawatan di hospital. Bagi pihak pembangkang, mereka mempergunakan kematian ahli parti pakatan mereka itu dengan menganjurkan perarakan pengebumian pemuda tersebut yang besar pada hari pilihan raya itu sendiri, satu tindakan yang dianggap provokatif dan merbahaya.

Polis dan Kementerian Dalam Negeri memberi kebenaran kepada perarakan berkenaan tetapi ia hanya boleh dianjurkan pada 9 Mei 1969. Dengan jarak sepanjang lapan batu, 14,000 peserta berarak sambil melaungkan slogan-slogan berbaur Maoist, menyanyikan lagu The East is Red dan membawa potret Mao Zedong. Perarakan yang melalui di tengah-tengah Kuala Lumpur dan mengakibatkan kesesakan trafik di setiap jalan utama di Kuala Lumpur. Orang Melayu yang melihat diejek dengan ejekan ‘Malai si!’ (Matilah orang Melayu) dan ‘Hutang darah bayar darah’.

Kejutan buat Perikatan

Pada pilihan raya 1969, kejutan melanda Parti Perikatan kehilangan banyak kerusi parlimen dan dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen. Walaupun berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor, mereka hanya mempunyai majoriti empat kerusi. Perak hampir jatuh ke tangan pembangkang sementara Gerakan pula memulakan asas bertapak di Pulau Pinang. Sementara kebanyakan kerusi negeri yang dikuasai Perikatan jatuh ke tangan parti pembangkang dari kaum Cina (ingatan, Kuala Lumpur masih lagi sebahagian daripada Selangor dan belum lagi diberi taraf sebagai Wilayah Persekutuan). Semua ini berlaku akibat provokasi melampau pihak sebelah yang mengusik perkara-perkara bersifat sensitif seperti hak keistimewaan orang Melayu dan hak kerakyatan. Semua ini direkodkan dalam laporan kertas putih MAGERAN.

Sebagai reaksi kepada kejayaan mereka yang tidak disangka-sangka, dua parti utama pembangkang iaitu DAP dan Gerakan memutuskan untuk menganjurkan perarakan kejayaan sekitar Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Mei 1969. Sesiapa yang melihat tindakan ini sudah tahu ini satu provokasi merbahaya dan ini diakui sendiri oleh mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng. Dalam bukunya Nations Before Self, beliau berkata:

The sudden surge of excessive Chinese chauvinistic and uncontrolled emotions during the May 69 elections following Opposition camps, was accompanied by even some simplistic presumptuousness that even greater Chinese political ascendency and successes would follow. The aggressive posturing and defiance seen during the funeral procession of an opposition posturing element shot by the police few days earlier had already fumed the situation. All these acts together could only create anger and inflict humiliation on the fragile sensitivities of a basically proud race and people. Very strong Malay anger arose intermixed with political anxieties for the community’s future. A counter procession in strength with much embedded racial pride and improvised self-protection was planned and organized.”

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu. Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye yang pada ketika itu menjawat Presiden Parti Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Parlimen Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maafnya itu diibaratkan nasi menjadi bubur.

Kemarahan orang Melayu sudah tidak boleh dibendung lagi. Sudah lama mereka bersabar dengan provokasi pihak pembangkang yang sentiasa mengusik sentimen orang Melayu. Tetapi satu perkara yang membuatkan mereka berang ialah ejekan berbaur perkauman seperti ‘Melayu babi balik kampung’. Dan ini diketahui oleh ramai orang termasuk Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris. UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Punca sebenar 13 Mei berlaku apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang beberapa orang Melayu yang dalam perjalanan ke Kampung Baru untuk menyertai perarakan UMNO dengan membaling botol kaca dan batu ke arah mereka.

Pergaduhan ini diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru Jalan Raja Muda. Dalam pukul 6.30 petang orang Melayu mula bergerak dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta.

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda Cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Dalam insiden yang dianggap babak hitam dalam sejarah negara, angka rasmi menunjukkan lebih 200 orang terbunuh, 439 cedera dan lebih 9,000 orang ditahan. Kebanyakan yang ditahan menurut kertas putih MAGERAN ialah anggota kongsi gelap dan elemen subversif pro-komunis. Tetapi bilangan orang yang terbunuh dalam tragedi itu berkemungkinan lebih ramai jika kita melihat keterangan saksi yang melihat deretan lori yang membawa mayat yang tidak sempurna ke Balai Polis Jalan Travers.

Semasa peristiwa 13 Mei ini juga, perintah berkurung 24 jam dilaksanakan dengan sesiapa yang disyaki melanggar perintah berkurung berpotensi ditembak pihak berkuasa. Perintah ini dilaksanakan pada 14 dan 16 Mei 1969. Kecuali kekecohan di Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Singapura yang menyaksikan populasi besar masyarakat Cina di situ, keadaan kelihatan tenang dan aman dalam negara.

Respon

Pada 16 Mei tahun sama, MAGERAN turut ditubuhkan atas titah DYMM Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Peranan pengerusi MAGERAN digalas oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan dibantu oleh Allahyarham Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambathan, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie, Jeneral Almarhum Tunku Osman Jiwa (Panglima Angkatan Tentera Malaysia) dan Allahyarham Tan Sri Salleh Ismael (Ketua Polis Negara).

Ini bagi menggantikan peranan Parlimen yang digantung semasa darurat. Sementara di peringkat negeri dan daerah, pentadbiran diuruskan oleh Majlis Gerakan Negeri dan Majlis Gerakan Daerah. MAGERAN melaksanakan pelbagai langkah bagi memulihkan semula keamanan pasca-13 Mei dan keamanan dapat dikembalikan dalam tempoh dua bulan. Perintah berkurung juga dikurangkan secara beransur-ansur sehinggalah keamanan benar-benar sudah terjamin. Pada Februari 1971, MAGERAN dibubarkan dan Parlimen kembali berfungsi seperti biasa. – 13 Mei 1969

Artikel penuh dalam The Patriots

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBORD*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.