KEPUTUSAN kerajaan DAP-PH membenarkan penggunaan cermin gelap bermula minggu lepas mendapat perhatian banyak pihak termasuk polis. Pada awalnya, pihak polis membantah keputusan tersebut atas alasan keselamatan. Namun akhirnya terpaksa akur.

Hal itu telah mendapat teguran daripada bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan. Bagi beliau, polis sepatutnya berpegang kepada prinsip asal, bukannya mudah akur dengan keputusan kerajaan dalam peraturan baru cermin gelap kenderaan yang dibantah pelbagai pihak, lapor sebuah portal.

Beliau merujuk Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias yang pada awalnya tidak bersetuju dengan peraturan baru cermin gelap kenderaan persendirian kerana boleh menyukarkan tugas penguatkuasaan, sebelum beliau akur kepada keputusan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

“Ada sebab dia (Azisman) tidak setuju, jadi kena semak semulalah. Apa yang takut sangat bila menteri kata hendak buat? Cakaplah terus terang sebabnya anda menjaga keselamatan negara dan masyarakat. Anda harus berpegang kepada prinsip,” katanya.

Musa berkata, polis memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, oleh itu pandangan polis harus diambil kira sebelum memperkenalkan akta atau peraturan baru membabitkan keselamatan.

“Akta atau peraturan berkaitan jalan raya bukan hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan kerana ia juga dikuatkuasakan oleh polis.

“Jadi, pandangan polis harus diambil kira kerana cermin gelap boleh datangkan masalah keselamatan dan keamanan pada orang awam.

“Kalau cermin gelap dibenarkan, maka penjenayah juga pakai cermin gelap. Maka, susahlah tugas polis untuk ambil tindakan. Bincanglah dahulu kerana polis yang menjaga keselamatan negara.”

Katanya, keputusan itu berdasarkan maklum balas polis dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap pada Jun 2014 yang mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin depan dan sisi pemandu, masing-masing pada kadar 70% serta 50%.

Penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan mulai Rabu lalu pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan berbanding VLT 30% sebelum ini. – 13 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.