KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang akan mengecilkan saiz kakitangan negeri sebanyak 5 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang sejajar dengan polisi kerajaan pusat.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Farizan Darus. Menurut beliau, pengecilan itu membabitkan 9,504 kakitangan dan 475 jawatan. Pelaksanaannya antara tahun 2019 hingga 2021.

Tentunya pengumuman ini merupakan berita buruk khususnya orang Melayu yang teramai dalam sektor tersebut.

Berita itu juga mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan telah memberi komen dalam facebook beliau.

“Pagi ini, kerajaan PH mengumumkan mereka akan kurangkan 5 peratus dari jumlah penjawat awam dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Langkah ini dikatakan selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan PH untuk melaksanakan kadar pengurangan yang sama bagi jumlah penjawat awam,” katanya.

Menurut beliau semasa DAP mengambil alih kerajaan negeri, perbelanjaan tahunan kerajaan negeri telah naik hampir empat kali ganda. Tapi mereka masih boleh mengelakkan defisit tiap-tiap tahun kerana banyak aset dan hak negeri telah dijual semasa mereka memerintah.

“Hampir RM40 bilion nilai aset dan hak tanah kerajaan Pulau Pinang telah dijual dalam tempoh 10 tahun itu. Oleh itu, mereka mampu berbangga dengan surplus dalam bajet itu tiap-tiap tahun sehingga ramai tertipu dengan propaganda DAP menjaga kewangan negeri dengan baik walaupun ia adalah daripada hasil jual aset,” kata beliau lagi.

Kini, kata Najib, tidak banyak lagi aset negeri boleh dijual kerana terlalu banyak telah dijual sebelum ini.

Pada masa yang sama, mereka perlukan duit untuk projek mega dengan kroni mereka seperti projek PTMP sebanyak RM50 bilion termasuk lebuhraya paling mahal dalam Malaysia yang kosnya RM500 juta setiap km.

“Oleh itu, kerajaan Pulau Pinang perlu mengurangkan kos tahunan mereka.

“Cara paling mudah ialah dengan membuang kakitangan kerajaan,” kata beliau. – 13 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.