SUARA Rakyat Malaysia (Suaram) semakin berani menyentuh isu tragedi 13 Mei apabila pengarahnya, Kua Kia Soong menekan kerajaaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendedahkan rahsia insiden rusuhan yang berlaku 50 tahun lalu itu.

Dalam keadaan perpaduan di negara yang amat rapuh ketika ini selepas beberapa insiden berbaur perkauman seperti pergaduhan di Plaza Low Yatt dan rusuhan kuil Seafield, adakah satu keperluan buat Kia Soong untuk mengetahui kebenaran tentang tragedi itu?

Bekas ahli Parlimen DAP itu jelas sengaja membangkitkan isu itu dengan menggunakan alasan bahawa kerajaan baharu di bawah PH perlu bertindak matang dan mendokong demokrasi.

Malah Kia Soong menggesa kerajaan mendedahkan rahsia yang disimpan oleh Kabinet dan jabatan Cawangan Khas untuk mendapatkan cerita penuh di sebalik insiden 13 Mei itu.

Ini bukan kali pertama Kia Soong menggesa kerajaan. Pada 2007 bekas ahli Parlimen DAP itu pernah menulis buku bertajuk ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969’.

Malah berdasarkan poster yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini, Kia Soong dijemput menghadiri satu forum yang ada kaitan dengan tragedi 13 Mei.

Forum anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) itu berlangsung sebanyak tiga kali 4 Mei, 12 Mei dan 13 Mei.

Acara sedemikian bukan kali pertama dilakukan dan ia sudah mula dianjurkan sejak beberapa tahun lalu tanpa disekat.

Persoalannya, adakah begitu penting untuk mengadakan forum bagi membincangkan tragedi yang meragut banyak nyawa tidak bersalah itu?

Apakah Suaram tidak sensitif dengan perasaan mereka yang pernah terlibat dalam tragedi itu terutamanya orang Melayu yang kini berasa kedudukan mereka tergugat dengan dominasi DAP-PH dalam kerajaan?

Lagipun agenda untuk mendedahkan kebenaran tragedi 13 Mei tidak ada dalam perjuangan Suaram, jadi tidak perlu bersungguh-sungguh membangkitkan isu yang tidak relevan buat masa ini.

Jika tidak lagi berlandaskan perjuangan asal, adalah lebih baik Suaram yang kononnya mewakili suara rakyat Malaysia, membangkitkan soal kos sara hidup yang memberi tekanan kepada rakyat sejak kerajaan DAP-PH berkuasa. – NTHQiBord, 13 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.