SATU lagi usaha cuba dilakukan untuk mengangkat agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) apabila Astro Awani mahu mengadakan sesi temu bual bersama aktivis gejala songsang itu, Numan Afifi.

Berdasarkan poster yang tersebar di media sosial, Numan sepatutnya bersiaran dalam program Let’s Talk bersama moderator Sharaad Kuttan pada pukul 10.15 malam ini.

Bagaimanapun Sharaad menerusi laman Twitternya, mengumumkan penangguhan program itu atas sebab yang tidak dinyatakan.

“Maaf @NumanAfifi dan penonton Let’s Talk @501 Awani. Rancangan terpaksa ditangguhkan,” tulis Sharaad dengan memuatnaik poster bertajuk ‘LGBTQ – Favourite Whipping Boy’ yang tertera muka Numan.

Tindakan Astro Awani itu yang pada mulanya ‘bersetuju’ membenarkan ikon LGBT itu bersiarakan di programnya ternyata dilihat sebagai usaha mempromosikan golongan songsang itu.

Apatah lagi program itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada bulan suci Ramadan.

Numan sebelum ini beberapa kali terlibat dalam kontroversi apabila menyatakan secara terbuka untuk memperjuangkan LGBT walaupun didesak banyak pihak agar tidak meneruskan agenda itu.

Malah dia disiasat pihak polis pada April tahun ini kerana ucapannya sewaktu Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu yang menyentuh tentang perjuangan LGBT.

Pada Julai tahun lalu, Numan meletak jawatan sebagai pegawai akhbar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas dikecam hebat kerana aktivitinya memperjuangkan hak LGBT.

Program yang sepatutnya berlangsung pada malam ini bersama Astro Awani dipercayai ditangguh selepas kempen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar yang mendesak agar acara itu dibatalkan.

Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh Gerakan Pengundi Sedar menerusi laman Facebooknya, sebanyak 96 peratus responden bersetuju agar program bersama Numan dibatalkan manakala hanya empat peratus sahaja bersetuju.

Seramai 2,200 pengguna Facebook menyertai tinjauan itu.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Rawa memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang kurang sesuai semasa sidang media selepas pertemuan dengan wakil transgender, Nisha Ayub pada tahun lalu.

Ia susulan kenyataannya berhubung penggunaan tandas melibatkan golongan LGBT dan beberapa perkara lain. – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.