TIADA keperluan untuk mendedahkan maklumat sulit berkenaan tragedi 13 Mei 1969, kata bekas Ketua Polis Negara.

Tan Sri Musa Hassan berkata, pihak yang terbabit perlu merujuk kepada kertas putih yang sudah dibentangkan di Parlimen.

“Tidak perlu (didedahkan) sebab maklumat terperinci telah ada di Parlimen.

“Jadi bacalah kertas putih itu, kerana ia terkandung rentetan peristiwa yang rasmi,” katanya ketika dihubungi oleh NTHQiBord.

Mengulas lanjut Musa berkata, perkara ini bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin dalam mengawal anasir negatif pihak tertentu yang cuba menganggu gugat keamanan negara.

“Kesan buruk akan berlaku sekiranya ada fakta-fakta palsu dikeluarkan.

“Fakta-fakta rasmi sudah ada yang terperinci, jadi apa lagi yang mereka mahukan,” katanya.

Baru-baru ini bekas Ahli Parlimen DAP Dr Kua Kia Soong yang merupakan Pengarah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyatakan hasrat untuk kerajaan menukar status dokumen sulit yang berkaitan dengan 13 Mei.

Namun Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin ketika ditanya media berkenaan ini memaklumkan bahawa beliau belum menerima sebarang permintaan rasmi untuk mengubah status laporan itu.  – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.