SEJAK kebelakangan ini, Datuk A. Kadir Jasin lantang ‘mengusik’ pentadbiran di Johor tidak kira sama ada melibatkan kerajaan negeri mahupun pihak Istana Johor.

Mulanya, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu itu dipercayai menyerang Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dengan memberi amaran kerabat raja yang tersesat dalam kancah arena politik mungkin akan dihentam.

Kemudian bekas wartawan itu sibuk ‘mengarahkan’ Menteri Besar Johor untuk menyiasat amalan pemberian tanah kepada Sultan Johor yang kini berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Gesaan Kadir itu secara tidak langsung memberi tekanan kepada Datuk Sahruddin Jamal yang baru mengambil-alih pentadbiran Johor susulan peletakan jawatan pendahulunya, Datuk Osman Sapian.

Malah Kadir mengulas kegagalan Osman akibat tidak utamakan kepentingan rakyat.

Walaupun Kadir memegang kapasiti sebagai penasihat media Tun Mahathir Mohamad, tetapi ia tidak bermakna beliau dengan sesuka hati mencampuri urusan pentadbiran sesebuah negeri.

Tambahan pula, Kadir merupakan anak kelahiran Kedah, dan apa yang disibuknya dengan Johor yang jauh ke selatan.

Apakah Kadir buta atau buat-buat tak nampak bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan anak kelahiran Johor adalah Presiden Bersatu?

Adakah beliau mahu melangkaui kuasa tuan Presiden yang secara umumnya seorang yang pro-sultan manakala Jasin pula merupakan penyokong tegar Tun Mahathir.

Adakah ini strategi Kadir untuk ‘menjatuhkan’ Muhyiddin secara halus susulan perselisihan faham yang tercetus antara presiden parti itu dengan Tun Mahathir baru-baru ini?

Setidak-tidaknya, biarlah anak jati atau pemimpin politik Johor sendiri yang menyentuh segala permasalahan yang berlaku di negeri tersebut, bukannya oleh individu yang hanya menggunakan blog untuk menyerang pihak lain.

Adalah lebih elok Kadir memantau perkembangan negeri di sebelah utara terutamanya di Kedah, negeri yang dipimpin oleh anak Tun Mahathir sendiri, Mukhriz Mahathir.

Dengar-dengan MB sendiri jarang ada di Kedah dan banyak habiskan masa di Kuala Lumpur. Wallahualam. – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.