‘PEMBUNUHAN dan haru-biru di Kampung Baru’. Dahsyat sungguh tajuk artikel Malaysiakini sempena ulang tahun ke-50 memperingati tragedi 13 Mei.

Kisah dongengnya cukup tersusun dengan setiap babak dapat diingati dengan baik oleh si tukang karut, lantas digoreng sampai hangus oleh si tukang tulis.

Gaya penulisannya tak ubah seperti sketsa menagih sedih antara Tun Mahathir dan Lim Guan Eng, ‘Dia terdiam. Di riak wajahnya….’ seperti yang tersebar selepas Pakatan Harapan menang pada PRU14 tahun lepas.

Cuma bezanya kali ini, mitos 13 Mei paparan Malaysiakini lebih mengundang provokasi terhadap orang Melayu dan Cina dengan menyiarkan kisah yang mungkin dikutip dari warung kopi atau tembok melepak si kutu rayau.

Banyak perkara boleh dipertikaikan terhadap tindakan Malaysiakini menyiarkan artikel itu.

Antaranya, seperti yang ditulis pada Nota Editor, Malaysiakini menyatakan fakta kisah itu tidak dapat disahkan sepenuhnya. Jadi kenapa portal pakar ‘spin’ ini masih menyiarkan artikel yang masih diragui faktanya?

Selain itu, penceritaan artikel itu kekejaman orang Melayu ke atas kaum Cina seolah-olah mahu menunjukkan betapa jahatnya orang Melayu pada kejadian 13 Mei.

Kononnya Malaysiakini cuba menampilkan watak si pencerita sebagai hero apabila mengamuk sambil mengoyakkan baju untuk menyelamatkan sebuah keluarga Cina, tidak ubah seperti watak Hulks dalam filem Avengers.

Jadi apakah tujuan sebenar Malaysiakini siarkan artikel yang tidak disahkan faktanya?

Adakah Malaysiakini mahu peristiwa 13 Mei berulang dengan membuat provokasi secara halus terhadap kaum Cina dengan mendendangkan kisah kekejaman orang Melayu?

Adakah Malaysiakini sengaja melaga-lagakan dua kaum ini ketika perpaduan masyarakat di negara kita yang kini diibarat retak menunggu belah?

Jangan hanya kerana mahu meraih populariti, maka Malaysiakini sanggup memperjudikan keamanan dan keharmonian negara dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

Segala laporan khas Malaysiakini tentang 13 Mei tiada motif jelas. Tiada keperluan untuk mengenang kembali sebegitu mendalam terhadap satu peristiwa yang hampir menghancurkan negara. Cukuplah sekadar memperingati. – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.