BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memberi tekanan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk memastikan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd diluluskan.

Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau bersetuju bahawa permohonan pinjaman SRC International adalah satu permintaan, bukannya arahan.

Saksi ke-35 kes perbicaraan penyelewengan SRC International itu berkata kertas pelaburan yang diserahkan kepada panel KWAP akan dinilai tanpa sebarang gangguan.

Beliau juga bersetuju bahawa panel pelaburan tidak perlu mendapat kebenaran menteri untuk membuat sebarang keputusan.

“Beliau (Najib) tidak mempengaruhi keputusan atau mengenakan tekanan terhadap permohonan pinjaman SRC.

“Panel pelaburan mempunyai kuasa sama ada meluluskan, menolak, menangguhkan sebarang keputusan permohonan pinjaman serta meminta dokumen tambahan bagi sebarang pengesahan pinjaman.

“Panel pelaburan tidak terikat dengan arahan atau cadangan,” katanya pada hari ke-17 perbicaraan kes itu.

Boleh bantah keputusan

Azlida juga memberitahu mahkamah bahawa KWAP mengamalkan dasar terbuka untuk membolehkan mana-mana stafnya mengemukakan aduan jika tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.

Ini kerana katanya, Panel Pelaburan KWAP sendiri terikat dengan Seksyen 14 (3) Akta Wang Pelaburan 2007 yang melarang ahlinya dipengaruhi pihak luar untuk membuat keputusan.

Jika didapati melakukan kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang proses permohonan pinjaman SRC kepada KWAP, tiada bantahan direkodkan.

Kenyataan bercanggah

Keterangan Azlida hari ini menunjukkan percanggahan kenyataan dengan saksi ke-18, Amirul Imran Ahmat yang sebelum ini berkata bahawa permohonan oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dibuat secara tergesa-gesa dan menerima tekanan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara spesifik pihak yang memberi tekanan kepadanya.

Namun mengikut rekod proses permohonan itu, surat memohon pinjaman sebanyak RM3.95 bilion diserahkan kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu pada 3 Jun 2011.

Najib mengeluarkan minit dan menyatakan sokongan pada surat permohonan itu dua hari kemudian iaitu 5 Jun 2011.

Selepas menerima surat sokongan itu, Amirul hanya berperanan untuk merangka usul pinjaman seperti yang diarahkan oleh pihak atasannya yang terdahulu sebelum perkara itu dipertimbangkan oleh Panel Pelaburan KWAP.

Panel itu diwakili oleh tujuh pegawai termasuk dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan.

Mesyuarat pertama bagi membincangkan permohonan itu hanya bermula kira-kira sebulan kemudian iaitu pada 5 Julai 2011 dan panel meminta maklumat lanjut berhubung usul yang dibentangkan.

Mesyuarat kedua berlangsung pada 19 Julai 2011 dan panel menolak permohonan RM3.95 bilion yang dikemukakan oleh SRC International dan hanya boleh meluluskan RM1 bilion sahaja.

Namun selepas empat kali bermesyuarat, panel akhirnya meluluskan RM2 bilion kepada SRC International termasuk syarat jaminan dari kerajaan dan surat tawaran dikeluarkan pada 23 Ogos 2011.

Mahkamah hari ini turut diberitahu bahawa kesemua pinjaman KWAP kepada SRC masih belum dibatalkan. – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.