PENUBUHAN Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang dilancarkan baru-baru ini ternyata bertujuan mahu memecah-belahkan sokongan orang Melayu, kata Naib Presiden PAS.

Datuk Iskandar Abd Samad berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan parti baharu kerana orang Melayu sekarang ini hanya mahukan kesepakatan dalam menentang anasir negatif yang cuba menjatuhkan masyarakat Melayu.

“Tercabar (UMNO dan PAS) dan saya melihat tidak perlu orang Melayu ini dipecahkan lagi.

“Maksudnya orang Melayu ini perlu bersatu, dan menentang sebarang cabaran yang ada.

“Bila kita lihat perkara ini, terlampau banyak sangat parti yang berasaskan Melayu, kita ada PAS, UMNO ,PKR, PAN, dan BERSATU,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya ada segilintir pihak sama ada secara berkumpulan atau individu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan, seharusnya menyertai blok pembangkang iaitu PAS atau UMNO.

“Kalau ada yang menentang kerajaan sekarang ini, dan nak perjuangkan nasib orang Melayu dan Islam maka patut duduk dibelakang PAS atau UMNO.

“Tapi kalau dipecahkan lagi, dengan tubuhnya parti melayu ini bermakna akan pecahkan undi Melayu kalau ada pertembunagn 3 penjuru di Pilihan Raya Umum,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Pakar Sejarah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam kewujudan parti baharu ini berpunca daripada sikap segelintir pihak yang kononnya mahu dilihat dirinya berkuasa.

Dr Ramlah turut berpandangan bahawa individu ini mungkin berpandangan bahawa parti sedia ada tidak memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Masing-masing fikir dia lebih hebat daripada orang lain atau mereka memikirkan mereka ini lebih ‘bersih’ daripada yang lain.

“Atau mungkin juga dia fikir ada orang yang tidak boleh terima parti-parti yang lain sama ada UMNO atau PAS.

Tambah beliau, tiada keperluan untuk penubuhan parti baharu kerana ianya akan membawa kepada keretakan dan apa yang orang Melayu dahagakan sekarang ini adalah kesepakatan.

“Apa yang diperlukan oleh orang Melayu adalah penyatuan kerana hendak bersatu itu adalah perkara yang paling susah.

“Kenapa kita tidak terima sahaja parti-parti yang ada, pilih sahaja salah satu untuk kita bekerjasama,” katanya.

Minggu lalu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia meluluskan PUTRA yang diasaskan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Parti baharu itu mengutamakan keahlian daripada masyarakat Melayu, Islam dan Bumiputera lain, namun turut juga membuka keahlian kepada kaum lain mengikut perlembagaan parti dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan. – NTHQiBord, 14 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.