KERJASAMA antara PAS dan UMNO tidak akan terganggu walaupun ada masa wujudnya isu-isu negatif yang menyelubungi kedua-dua parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Datuk Md. Alwi Che Mat berkata sekiranya ada musuh dalam selimut PAS yang tidak senang dengan penyatuan ini seeloknya diuruskan oleh parti itu sendiri.

“Oleh kerana ianya selimut (dalaman) PAS, biar PAS lah tengok (kendalikan) selimut mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord hari ini.

Beliau mengulas kemelut yang melanda parti PAS susulan pendedahan menantu Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad tentang kewujudan ‘kartel dedak’ yang menerima wang dari UMNO.

Mengulas mengenai kesan pembongkaran itu terhadap penyatuan UMNO-PAS, Md. Alwi berkata, Zaharudin hanya menantu kepada Abdul Hadi, dan bukannya presiden.

“Sejak bila pulak (suara) menantu diambik kira?,” katanya.

Zaharudin merupakan bekas ahli Majlis Syura PAS dan masih menjadi ahli parti itu.

Baru-baru Zaharudin mendedahkan berkenaan lima pemimpin dalam PAS yang terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO. – NTHQiBord 15 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.