BEBERAPA hari lalu, Portal Bloomberg menyiarkan laporan berita bertajuk, ‘Global Investors Are Losing Patience With Malaysia’ (Pelabur asing hilang sabar dengan Malaysia).

Ia ekoran ekonomi Malaysia tidak menunjukkan perkembangan positif sejak diperintah kerajaan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyifatkan laporan Bloomberg itu memalukan Malaysia terutamanya kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana pelbagai indikator menunjukkan keyakinan majoriti rakyat dan pelabur luar negara telah merudum.

Katanya, beberapa minggu lalu, dapatan dari KAJIDATA Research dan The Edge menunjukkan majoriti responden tidak yakin terhadap Pakatan Harapan dalam menguruskan ekonomi Negara.

“Perkara ini sangat memalukan dan boleh dianggap sebagai satu ‘hadiah istimewa’ kepada Menteri Kewangan.

“Mengapa tiada langkah pemulihan atau pengurusan risiko yang dilakukan oleh Menteri Kewangan?

“Kementerian Kewangan perlu mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara,” katanya mengulas

Menurut beliau, tidak sekadar itu, sorotan dari FTSE Russell dan Morgan Stanley juga turut menunjukkan kebimbangan terhadap pasaran kewangan negara.

Katanya, berdasarkan laporan itu, pengaliran keluar dana asing asing pada bulan April sahaja mencecah RM1.49 bilion.

“Bagi kewangan sektor awam, defisit fiskal semakin membengkak kepada 3.8 peratus (RM53 bilion) pada akhir tahun 2018 dan hutang yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja telah mencecah hampir RM28 bilion.

“Jika situasi ekonomi ini berterusan, maka rakyat dan pelabur luar negara akan terus pesimis. Hal ini menunjukkan langkah kerajaan untuk mengkonsolidasi fiskal tidak akan menjadi kenyataan,” katanya. – NTHQIBORD 15 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.