PROGRAM Matrikulasi KPM bermula pada tahun 1999 sebagai persediaan pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA) dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Mulai sesi 2003/2004, 10 peratus daripada keseluruhan pelajar Program Matrikulasi KPM ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera.

Namun selepas kerajaan DAP – PH memerintah, suara-suara tidak senang dengan program matrikulasi ini kembali kedengaran.

Selepas Tun Mahathir dan Tun Daim mempertikai program matrikulasi ini, Presiden Gerakan, Dato’ Dr Dominic Hau Loe Chai pula mendesak DAP menghapuskan program KPM ini.

Ekoran desakan Dr Dominic itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan cubaan meraih politik murahan.

Bagi Mahdzir, tindakan Dominic membangkitkan perkara itu serta menekan DAP supaya memansuhkan program terbabit juga disifatkan sebagai perlakuan yang tidak sihat.

Malah menurut beliau, cubaan yang sengaja ditimbulkan sempena ulang tahun peristiwa hitam 13 Mei itu sangat berbahaya kerana boleh membangkitkan suara ekstremis.

Selain itu kata Mahdzir, ia turut mengingatkan rakyat kepada perarakan kemenangan antara Gerakan dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU-3) yang telah mencetuskan tragedi itu.

“Jika benar program matrikulasi merupakan amalan diskriminasi kepada pelajar bukan bumiputera seperti didakwa, mengapa tidak sekalipun beliau atau pemimpin Gerakan lain mempertikaikannya sewaktu mereka masih bersama Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mahdzir mengingatkan Dominic bahawa program matrikulasi dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perizaban tempat pengajian ke universiti awam atau ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia Ir Khairil Nizam Khirudin turut menyatakan bahawa desakan untuk menghapuskan program matrikulasi sama sekali tidak wajar. Ia tidak harus dimangsakan atau dihukum.

“Kami mendalami segala ketidakadilan serta kepincangan ‘masa lalu’, tetapi kita tidak harus mendepani semua kesilapan lampau dengan memusnahkannya,” kata Khairil dalam suatu kenyataan.

Khairil menyatakan kebimbangan bahawa desakan terbuka itu boleh menjadi polemik perkauman.

“Dalam isu ini, kami bersedia duduk semeja bersama Gerakan dan berbincang bagi menghasilkan solusi terbaik untuk kepentingan masa depan negara,” kata Khairil. – NTHQIBORD 15 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.