PERARAKAN dan demonstrasi mengingati ulang tahun ke-71 Hari Nakba di seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, pada Rabu turut dihadiri rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel baru-baru ini.

Ribuan orang berkumpul berhampiran pagar pemisahan Israel di Gaza timur, tempat demonstrasi diadakan setiap minggu sepanjang tahun lalu.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 47 rakyat Palestin cedera oleh tidakan tentera Israel semasa protes. Saksi berkata tentera menembak peluru hidup, gas pemedih mata dan peluru keluli bersalut getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan menjauhkan diri dari pagar.

Tentera Israel berkata kira-kira 10,000 “perusuh dan penunjuk perasaan” berkumpul di beberapa tempat di sepanjang pagar Semenanjung Gaza dan pasukan itu bertindak balas untuk menyuraikan rusuhan.

Wartawan Al Jazeera’s, Natasha Ghoneim, yang melaporkan dari Gaza, berkata jumlah yang hadir berdemontrasi di sepanjang pagar tidak ramai berbanding demonstrasi sebelumnya.

“Hamas telah menyeru rakyat Palestin untuk keluar bermai-ramai untuk membantah apa yang disebut sebagai pendudukan haram. Ini adalah hari kesembilan gencatan senjata di sini dan ia juga adalah saat di mana orang cuba untuk kembali ke ‘kehidupan normal’.

Perhimpunan pada hari Rabu ini dianjurkan demi mengingati Hari Nakba, apa yang Palestin namakan malapetaka yang menimpa mereka sehingga membawa kepada penubuhan Israel pada tahun 1948, apabila beratus-ratus ribu rakyat Palestin dipaksa keluar dari rumah mereka.

Selama lebih setahun, rakyat Palestin di Gaza telah mengadakan protes setiap minggu di sepanjang pagar, menuntut hak untuk kembali ke Palestin dan ke wilayah yang dirampas Israel hari ini, serta untuk mengakhiri sekatan 12 tahun yang dikenakan oleh Israel.

Menurut Hamas, sejak melancarkan demonstrasi mingguan, tentera Israel telah menembak dan membunuh 305 penunjuk perasaan Palestin, termasuk 59 kanak-kanak dan 10 wanita.

Penduduk di Gaza City pada hari Rabu turut mengambil bahagian dalam mogok umum untuk menandakan hari berkabung. Perarakan besar-besaran telah diadakan di bandar, dengan pemilik kedai menutup perniagaan mereka.

“Peristiwa ini adalah satu hari yang amat menyedihkan bagi rakyat Palestin, hari yang gelap untuk rakyat kita. Telah 71 berlalu, dan Insya-Allah kita akan kembali ke tanah air kita tidak lama lagi,” kata Baker Ibrahim, warga Gaza. – 16 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.