INDONESIA akan membuat keputusan mengenai ibu negara baharunya, tahun ini, dengan matlamat menyiapkannya menjelang 2024.

Keputusan memindahkan ibu negara dari bandar mega Jakarta, diumumkan kira-kira dua minggu lalu, selepas Presiden Joko Widodo meluluskan rancangan yang sudah lama dirancang itu.

Menteri Perancangan Bandar, Bambang Brojonegoro berkata kerajaan sedang menyiapkan kajian, justeru mereka boleh membuat keputusan, tahun ini, dan memulakan projek pecah tanah pada 2021.

“Kita banyak melakukan koordinasi untuk menyelesaikan kajian, justeru kita boleh membuat keputusan tahun ini mengenai lokasi baharu ibu negara.

“Ia membolehkan proses dan pembinaan bermula dalam tempoh satu atau dua tahun. Kami berharap ibu negara baharu tersedia sebagai pusat baharu kerajaan menjelang 2024,” katanya.

Jakarta dan beberapa bandar satelit di sekelilingnya mempunyai kira-kira 30 juta penduduk dan sering dianggap bandar dengan trafik paling sesak di dunia.

Banjir juga berlaku setiap tahun kerana aktiviti mengekstrak air bawah tanah yang menjadikannya bandar mendap terpantas di dunia.

Awal bulan ini, Presiden Widodo melawat Kalimantan Timur dan Tengah di pulau Borneo untuk mencari lokasi ibu negara baharu. – 16 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.