KETIKA ini tular video ceramah Hew Kuan Yau, ketika PRK Cameron Highland awal tahun ini. Video yang berdurasi 2 minit 22 saat itu mendedahkan matlamat dan sasaran sebenar parti DAP serta strategi mereka.

Antara fokus ucapan Hew ialah strategi untuk memastikan UMNO terus berkubur dalam arena politik Malaysia.

Sebelum itu Hew mengimbau sejarah tiga generasinya yang berusaha menjatuhkan UMNO, namun gagal. Hanya setelah ‘pemberontakan’ Tun Mahathir barulah UMNO dapat ditumbangkan.

Dia menyelar hadirin kerana ada yang mahu kembali kepada UMNO selepas 8 bulan menukar kerajaan – setelah bersusah payah menumbangkannya.

“Tapi ada sesetengah orang bodoh, menyesal setelah lapan bulan, menyesal tukar kerajaan selepas lapan bulan, bising-bising nak UMNO balik…” ujarnya yang juga bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan.

Oleh itu, Hew menggesa hadirin ingat enam perkataan iaitu ‘ambil nyawa dia ketika dia sakit’ yang merujuk kepada UMNO.

“Jangan sekali-kali bagi UMNO hidup balik, bergabung pula dengan PAS, mereka akan dapat 70 peratus undi Melayu,” katanya lagi.

Katanya, ketika itu jika 95 peratus orang Cina dan 30 peratus Melayu mengundi DAP-PH sekalipun, mereka tidak mampu menentang gabungan undi UMNO-PAS.

Hew juga meminta hadirin memahami kenapa Mahathir kadang-kadang berbuat sesuatu yang tidak difahami termasuk menerima mereka yang melompat parti.

Baginya, tindakan itu adalah salah satu strategi Mahathir melemahkan dan seterusnya menghapuskan UMNO. Selepas UMNO pupus, lebih senang DAP-PH untuk menghapuskan PAS.

Sebelum ini  Hew Kuan Yau terkenal dengan ungkapan ‘guna Melayu untuk skru Melayu’ sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pada Februari lalu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai telah melantik Hew Kuan Yau sebagai CEO untuk Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) iaitu agensi kerajaan yang jaga hubungan perdagangan dua hala dengan China. – NTHQIBORD 16 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.