KUALA LUMPUR – Keterangan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman pada kes perbicaraan penyelewengan SRC International Sdn Bhd membangkitkan persoalan tentang tujuh pendakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Pada perbicaraan hari ke-18 semalam, Shamsul mengesahkan keterangan saksi ke-36, Aishah Ghazali, bekas pegawai eksekutif akauntan IPSB, bahawa wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib di AmBank.

Aishah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wang tersebut dimasukkan sebanyak tiga kali bayaran dari akaun IPSB di Affin Bank antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dipindahkan ke akaun Najib pada 2014 dan bakinya, RM10 juta dipindahkan pada 2015, menjadikan keseluruhan duit itu sebanyak RM42 juta.

Najib, berdepan tujuh pertuduhan termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Peliknya, wang RM42 juta itu tidak dipindahkan dari akaun SRC International, mengikut keterangan Shamsul kepada mahkamah semalam.

Lebih menimbulkan persoalan, kenapa Peguam Negara mengenakan tujuh pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu dengan melibatkan wang yang bukan dari SRC International?

Shamsul mengesahkan wang itu dipindahkan ke akaun Najib tanpa diarahkan olehnya sendiri atau dari SRC International.

Saksi ke-37 berkata, beliau diarahkan untuk membuat pindahan wang itu ke akaun Najib oleh dua individu Ung Su Ling dan Dennis See Thuan Buan dengan menggunakan emel.

Su Ling merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) manakala Dennis See merupakan pengarah projek YR1M.

Dalam keterangan Shamsul, beliau menyangka wang itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh YR1M dan Yayasan 1MDB, selain tidak mengetahui akaun penerima itu adalah milik Najib.

“Saya tidak akan memindahkan wang tersebut ke akaun itu jika mengetahui akaun penerima adalah beliau (Najib),” katanya.

Shamsul juga berkata, Najib tidak pernah menghubunginya untuk memberi arahan atau bertanyakan tentang wang RM42 juta itu.

Sebagai rekod, IPSB ditubuhkan pada 2011 untuk mengendalikan program CSR di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiada kaitan langsung dengan SRC International.

Shamsul yang sebelum itu merupakan pengarah 1MDB untuk kendalikan program CST, dilantik menjadi pengarah urusan IPSB.

Beliau memberi keterangan bahawa apabila IPSB ditubuhkan, SRC International memberi jaminan bertulis untuk memberikan geran RM250 juta.

Namun katanya, IPSB tidak pernah menerima geran tersebut.

Pada 2015, Shamsul merupakan antara individu yang didakwa terlibat dalam komplot yang diketuai Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Gani Patail untuk mengenakan pendakwaan terhadap Najib.

Kertas pendakwaan itu bocor selepas didedahkan oleh pemilik blog Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown pada tahun yang sama.

Bagaimanapun kertas pendakwaan itu didapati palsu seperti yang dinyatakan oleh Pejabat Peguam Negara pada ketika itu.

Berdasarkan perkembangan dalam media sosial, rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan kenyataan Shamsul yang didakwa berpihak kepada Najib.

Kebanyakan mereka mendakwa alasan Shamsul tidak mengetahui akaun itu milik Najib sebagai tidak logik. – NTHQiBord, 16 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.