UMNO dan PAS perlu matang dalam menghadapi persepsi negatif pihak luar yang cuba melaga-lagakan kedua-dua parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam ini.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata UMNO dan PAS harus berpandangan jauh dan menilai bahawa mereka sekarang ini mempunyai misi yang lebih penting daripada melayan anasir luar yang cuba memecah-belahkan penyatuan kedua-dua parti itu.

“Saya kira perkara ini kecil yang cucuk-cucuk ini tidak perlu terganggu sangat sebenarnya.

“Jika hendak dibandingkan kerana perpaduan antara Melayu dan Islam ini sebagai wadah perjuangan bangsa dan negara ini adalah sangat besar,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord baru-baru ini.

Beliau turut percaya bahawa PAS mampu menepis anasir jahat yang mahu melemahkan parti itu terutama berkenaan kononnya ada dakwaan PAS menerima dana yang diberi pihak luar.

“Saya lihat PAS adalah sebuah parti yang dapat menepis tohmahan.

“Namun pada perkiraan saya tidak salah untuk PAS menerima bantuan daripada kelompok lain.

“Dana tidak ada masalah, kerana dana politik ini diterima di negara ini, bukan sahaja PAS malah DAP juga terima bantuan kewangan daripada pihak luar,” katanya.

Isu dalaman PAS kembali hangat apabila Zaharudin Muhammad yang merupakan menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membongkar ada lima pemimpin PAS yang menerima dana politik daripada UMNO.

Menurut Zaharudin, pendedahan itu bertujuan bagi memastikan PAS menjaga integriti dan tidak secara sewenang-wenangnya menerima bantuan daripada pihak lain. – NTHQiBord, 15 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.