ISU pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah lambang penipuan Pakatan Harapan (PH) yang paling besar sekali.

Mana tidaknya, perkara berkenaan dicanang dan diwar-warkan sebelum ini terutama apa yang terkandung di dalam manifesto mereka.

Kerana itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menggesa rakyat jangan lupa terhadap janji palsu kerajaan PH dalam memancing undi anak muda pada PRU14 lalu.

“PTPTN adalah lambang penipuan PH yang paling besar sekali. Jangan kita sesekali lupa.

“Kini penipuan tersebut menjadi lebih dahsyat – bukan sahaja segala janji tidak tertunai, tetapi mereka nak menambah lagi tekanan berbanding apa yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) yang saya anggap amat sederhana dan sesuai,” katanya menurut UMNO-Online.

Shahril berkata, PH membayangkan langkah-langkah yang lebih drastik terhadap peminjam PTPTN berbanding zaman BN sebelum ini.

“Sekarang PH membayangkan langkah-langkah lebih drastik, bukan sekadar mahu menghalang keluar negara, tapi nak juga sekat peminjam memperbaharui pasport dan lesen perniagaan.

“Zaman BN dulu buat dasar untuk menggalakkan pembayaran semula, bukan sehingga mengganggu periuk nasi orang,” katanya.

Memetik laporan, dilaporkan PTPTN mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Dalam taklimat media bersama pentadbiran tinggi PTPTN semalam, termasuk pengerusi Wan Saiful Wan Jan, perbadanan itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Menurut Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan. – 17 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.