LAPORAN polis dilakukan oleh Persatuan Penganut Sri Maha Karumariamman di Ladang Bangi terhadap Pemaju Trans Loyal Development Sdn. Bhd yang sebelum ini bertindak mengunci jalan dan menghalang laluan ke kuil sejak 8 Mei lalu.

Pengadu mendakwa sebelum ini persetujuan telah dilakukan di antara kedua-dua pihak bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau namun sebaliknya yang berlaku.

”Kami telah membuat aduan pertama pada 8 Mei 2019.

“Aduan polis ini terhadap Pemaju Trans Loyal Development Sdn. Bhd (TLD) kerana telah membuat halangan dan mengunci jalan laluan ke Kuil Ladang Bangi sejak 8 Mei 2019.

“Pada 10 Ogos 2018, mesyuarat telah diadakan di pejabat Exco YB Ganabatirau – Exco kerajaan negeri Selangor mengenai Hal-hal Perladangan di mana Exco dengan tegas mengatakan jalan itu tidak boleh ditutup,” memetik laporan polis berkenaan.

Selepas perbincangan yang dilaksanakan, surat daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dihantar sekali lagi kepada pengadu memaklumkan untuk membuka laluan yang sedia ada melalui tanah pembangunan milik pemaju ke tapak kuil.

“Kami membuat aduan polis ini kerana esok (hari ini) adalah hari Jumaat dan hari untuk penganut sembahyang.

“Jika laluan ini tidak dibuka maka para penganut terpaksa membuka mangga untuk terus menjalankan ibadat sembahyang kerana hak ini adalah termaktub dalam perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak pemaju tidak boleh membuat sekatan jalan kepada laluan jalan ke Kuil yang telah diberikan kepada kami secara sah,” berdasarkan laporan polis. – NTHQiBord, 17 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.