PARUT yang terhasil akibat peristiwa 13 Mei 1969 sudah dirobek semula sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei tahun lalu.

Itu yang membimbangkan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalid Abdul Hadi sejak kerajaan PH ambil alih kerajaan kerana perkara paling awal yang disentuh adalah sensitiviti kaum dan agama.

Sebagai contoh katanya, golongan LGBT, liberal dan syiah diberi kedudukan tetapi JAKIM pula digesa agar dimansuh.

“Menteri pula guna bahasa ibunda masing-masing dalam kenyataan rasmi, iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tuntut perjuangan Komunis masuki buku teks sekolah, institusi pendidikan Cina diberi kewangan lebih banyak, sedangkan belanjawan kepada golongan pesawah, peladang, nelayan dan penternak dikurang dan dimansuhkan.

“Itu belum kira bukan yang menjawat kedudukan penting dalam kerajaan manakala Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pula dihina,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Lagi menyakitkan hati, Muhammad Khalid berkata kerajaan PH sendiri mencabar dan mahu meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan selain gagal mengendalikan isu sehingga menyebabkan penjawat awam terbunuh seperti kes arwah Muhammad Adib Kassim, dan banyak lagi.

Tetapi secara asasnya, Muhammad Khalid berkata, PH sedang menyemarakkan perasaan atau sentimen suatu kaum dan agama dengan memperkuatkan atau melebihkan di satu pihak.

“Tetapi memprovokasi di satu pihak dengan pertikaian, gugatan dan ancaman terhadap hak yang telah sedia termeterai menjadi tonggak penting negara ini.

“Ianya sikap berani luar biasa yang dilihat memiliki unsur diskriminasi tetapi dicantikkan atas nama ‘kesaksamaan’ kononnya.

“Malah, semua terjadi itu hampir menyamai segala peristiwa yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969,” katanya.

Muhammad Khalid berkata, sikap sibuk, biadab, celupar dan lantang secara kurang ajar semakin menjadi-jadi apabila tonggak-tonggak negara dihina hingga turut mengheret penghinaan ke atas Rasulullah S.A.W dengan begitu terbuka.

Semua itu katanya, mengulangi ‘perayaan’ dibuat DAP dan Gerakan yang memenangi pilihan raya ‘menjatuhkan’ Perikatan dahulu.

“Juga banyaknya provokasi termasuk kata-kata hasutan seperti ejekan “Matilah orang Melayu” (“Malai si”), termasuk terbunuhnya orang Melayu dalam rusuhan kaum.

“Bukti ini masih boleh dilihat dalam laporan kertas putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

“Soalnya kini, apakah PH mahu biarkan ia menjadi sejarah yang ‘bersemadi aman’ dan diiktibarkan, atau sedang mencipta cetusan-cetusan di masa depan?” katanya. – NTHQiBord, 17 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.